Perjalanan terakhir mendiang Eddie Ng

Bernama
Julai 24, 2018 13:16 MYT
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub (kiri) antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ng di Xiao En Centre Cheras, 22 Julai lalu. - fotoBERNAMA
Paluan gong Cina dan alunan sayu muzik pancaragam mengiringi perjalanan terakhir mendiang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong Eddie Ng Tien Chee yang maut dalam nahas jalan raya awal pagi Khamis minggu lepas.
Ratusan anggota keluarga dan sahabat mendiang hadir di Pusat Peringatan Xiao En di sini bagi memberi penghormatan terakhir sebelum keranda mendiang meninggalkan lokasi berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi menuju ke Krematorium Xiao En Nilai bagi upacara pembakaran.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dan pemimpin DAP yang lain.
Terdahulu, berlangsung upacara sembahyang mengikut tradisi Tao disempurnakan seorang sami Tao diikuti ucapan penghormatan terakhir oleh beberapa pemimpin termasuk Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan anggota Parlimen Damansara Tony Pua dan tunduk hormat oleh wakil anggota DAP seluruh negara, pasukan Unit Tindak DAP, dan kaum keluarga.
Difahamkan kenderaan yang membawa mendiang Ng akan melalui kawasan Balakong termasuk laluan pejabatnya sebelum menuju ke Nilai.
Upacara pembakaran jenazah mendiang Ng akan disempurnakan hari ini kira-kira pada 1.30 tengah hari dan abunya akan dibawa ke Universal Memorial Park, Semenyih esok dan ditempatkan di sana.
Dalam kejadian 12.40 tengah malam, Khamis, mendiang yang memandu kenderaan jenis Nissan X Trail, dari arah Kuala Lumpur ke Kajang, maut di tempat kejadian selepas melanggar belakang sebuah lori di KM11.7 Lebuhraya Grand Saga.
BACA: PRK DUN Balakong: DAP wakili Pakatan Harapan
Mendiang meninggalkan seorang isteri Loh Hwa Hong, 39, serta tiga anak - Ng Chin Wee, 17, Ng Chin Shian, 15, dan Ng Chin Khai, 13 tahun.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, ADUN DAP itu mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.
-- BERNAMA
#ADUN #BALAKONG #DAP #Eddie Ng Tien Chee #jalan raya #krematorium #maut #Nahas #Ng Tien Chee #nilai #penghormatan terakhir #Xiao En
;