Perjalanan ke luar negara mungkin lebih mudah jika divaksinasi - Perdana Menteri

Hasimi Muhamad
Februari 16, 2021 14:03 MYT
Malaysia akan menerima bekalan vaksin Pfizer pada 21 Februari ini - Gambar AP
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang menerima suntikan vaksin COVID-19 dijangka mempunyai kelebihan untuk melancong dan mengembara ke luar negara pada masa hadapan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini adalah kerana berkemungkinan terdapat negara luar yang akan menetapkan syarat hanya individu yang diberikan suntikan vaksin sahaja boleh memasuki negara mereka.
Justeru, Muhyiddin menggalakkan rakyat negara ini untuk mengambil suntikan vaksin memandangkan ia diberikan secara percuma oleh kerajaan.
“Untuk jangka masa panjang ia akan memberi kelebihan kepada mereka yang telah menerima suntikan (vaksin).
"Saya tidak mahu mengatakan, tetapi (kebarangkalian) pada masa depan, contohnya untuk melancong ke luar negara, yang mana hampir semua penduduk telah menerima vaksin, mereka akan meletakkan beberapa syarat seperti satu dokumen (pengesahan) yang membuktikan anda telah menerima vaksin sekiranya ingin melancong ke negara tersebut.
“Jika anda tidak menerima vaksin, sudah tentu ia menjadi satu penghalang dan merencatkan perancangan perjalanan anda. Itu tidak akan memberi kelebihan kepada anda,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
[SIDANG MEDIA] Pelancaran buku panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
BACA: Jangan ambil mudah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan - Perdana Menteri
Menurut Perdana Menteri lagi, program vaksinasi juga dijangka akan membantu membangunkan semula ekonomi negara.
Sebelum itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak mengambil mudah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula hujung bulan ini.
#Muhyiddin Yassin #Khairy Jamaluddin #Perdana Menteri #COVID-19 #Mengembara ke luar negara #Kelebihan suntikan vaksin #Vaksin Pfizer
;