Perjalanan feri ke Langkawi tidak terjejas akibat air pasang besar

Adie Sufian Zulkefli
September 11, 2022 17:33 MYT
Beberapa kawasan di Kuala Kedah hari ini sekali lagi dinaiki air susulan fenomena air pasang besar. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Jadual perjalanan feri dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Langkawi tidak terjejas dengan fenomena air pasang besar yang berlaku hari ini.
Pegawai Operasi Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Ahmad Azizan Aziz berkata, semua perjalanan membabitkan empat feri berjalan lancar walaupun paras air di kawasan terminal turut meningkat.
“Limpahan air yang naik pada jam 1 tengah hari tidak sampai ke lantai jeti, hanya menjejaskan kawasan parkir kenderaan awam namun ia surut sejam kemudian
“Pegerakan feri bermula jam 12 tengah hari, 1 tengah hari, 2.30 petang dan 4 petang beroperasi seperti biasa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Kuala Kedah sekali lagi dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang berlaku hari ini.
Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, paras air laut meningkat setinggi 2.9 meter mengakibatkan air melimpah dan memenuhi jalan raya dan premis perniagaan sejak jam 12.30 tengah hari.
Saifuddin berkata, semua pegawai dan anggota APM ditempatkan di kawasan dijangka terjejas iaitu di kawasan Kuala Kedah dan Tanjung Dawai di Kuala Muda.
Katanya, lima lokasi lain yang turut terjejas antaranya Kuala Jerlun di Kubang Pasu, daerah Kuala Muda, Kuala Sala dan Kuala Yan di Yan, Kuala Kedah serta Langkawi.
#feri langkawi #air pasang besar #terminal feri #Kuala Kedah
;