Perjalanan Agong dari Sibu-Kuching hampir seharian, rakyat setia menunggu

Bernama
September 12, 2023 06:00 MYT
Perjalanan Yang di-Pertuan Agong dari bandar Sibu ke Kuching sempena Kembara Kenali Borneo mengambil masa lebih 15 jam susulan keterujaan rakyat Sarawak meraikan keberangkatan Seri Paduka. - Gambar BERNAMA
KUCHING: Perjalanan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari bandar Sibu ke sini sempena Kembara Kenali Borneo mengambil masa lebih 15 jam susulan keterujaan rakyat Sarawak meraikan keberangkatan Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah dan rombongan berangkat tiba di hotel penginapan, di sini kira-kira 12.20 tengah malam selepas meneruskan penjelajahan ke ibu negeri Sarawak itu pada 9 pagi tadi, usai mengadakan kunjungan di Pasar Sentral Sibu, lokasi persinggahan pertama pada hari ke-10 Kembara Kenali Borneo.
Sejurus berangkat tiba di Kuching, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Majlis Penutupan dan Santapan Malam Bersama Kerajaan Negeri Sarawak.
Berangkat sama, paduka anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.
Terdahulu, sepanjang perjalanan rombongan melibatkan jarak sejauh kira-kira 398 kilometer (km) melalui Lebuhraya Pan Borneo itu, menyaksikan kebanyakan bahu jalan berhampiran kawasan penempatan dipenuhi orang ramai yang menunggu keberangkatan Al-Sultan Abdullah.
Kawasan dipenuhi orang ramai antaranya ialah laluan berdekatan Kem Pakit (Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja) hingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu, masing-masing di Sri Aman, sehinggakan perjalanan sejauh 57km itu tidak putus-putus dengan lambaian orang ramai ke arah rombongan.
Ada juga situasi rombongan Kembara Kenali Borneo kerap kali bergerak agak perlahan dan berhenti selama 10 minit disebabkan jalan yang dilalui dikerumuni orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya di kawasan berdekatan bandar Serian, yang terletak 61km dari sini.
Semasa rombongan Kembara Kenali Borneo memasuki pusat bandar raya ini pada 12 tengah malam, penduduk setempat turut menunggu di tepi jalan sambil merakamkan video keberangkatan Al-Sultan Abdullah.
Petugas Bernama yang mengikuti konvoi sempat bertanya kepada orang ramai yang menunggu dan kebanyakan mereka memaklumkan sanggup menunggu selama lima jam lebih awal untuk menyaksikan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dengan lebih dekat.
Penantian itu sangat berbaloi kerana ini merupakan kali pertama mereka dapat melihat sendiri Yang di-Pertuan Agong dan paduka anakanda.
Kegembiraan terserlah pada wajah penduduk Bumi Kenyalang apabila mereka berpeluang bersalaman, berswafoto dan mendapatkan tandatangan kerabat diraja itu sebagai kenangan.
Kembara Kenali Borneo akan berakhir esok di Telok Melano, di selatan Sarawak selepas memulakan penjelajahan dari Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas.
Kembara yang diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah untuk mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, telah menamatkan perjalanan di Sabah pada 7 Sept lepas sebelum memasuki Sarawak menerusi Brunei.
Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - BERNAMA
#Kembara Kenali Borneo #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #rakyat Sarawak teruja
;