Perit setahun masih berbekas, runner yang dilanggar ini sambut Ramadan serba kekurangan
Petrus Bernard
April 20, 2021 12:25 MYT
April 20, 2021 12:25 MYT
TAWAU: Perit apabila mengimbas semula kejadian pada 13 April 2020. Detik malang ketika motosikal yang ditunggang dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika sedang mencari rezeki sebagai (runner) penghantar makanan.
Mungkin kalau cedera yang ringan, 12 bulan yang berlalu memadai untuk proses pemulihan. Namun tidak bagi Muhd Sofri Suhadi. Sehingga hari ini dia tidak dapat bekerja kerana kakinya tempang akibat patah tulang paha kiri.
Kemalangan jalan raya memang suatu mimpi ngeri bagi seorang runner sepertinya, lebih-lebih lagi yang bertungkus-lumus menjalankan amanah itu untuk mencari rezeki demi menyara isteri dan anak.
Muhd Sofri, 29, bersama isteri dan anaknya itu yang kini menumpang di rumah kakak iparnya di Kampung Hidayat Batu 4, Tawau, amat sedih mengenangkan nasibnya yang tidak dapat bekerja kerana kakinya masih ‘tertanam’ tiga batang besi.
Meskipun semua itu adalah untuk memulihkan tulang kakinya dan membolehkannya dia berjalan semula, masih banyak waktu diperlukan. Sehingga kini dia terpaksa berharap pada sokongan tongkat untuk berdiri dan berjalan.
Selama setahun juga, dia tidak dapat bekerja, sekali gus bermakna dia terputus punca pendapatan untuk keluarganya.
Sepanjang tempoh berlalu yang bersulam rasa sedih dan kecewa, di suatu sudut di negara ini pula, individu yang melanggarnya terus ‘hilang’ entah ke mana. Langsung tidak pernah muncul untuk menziarahinya, apatah lagi menghulurkan bantuan untuk keperluan mereka sekeluarga.
“Langsung dia tidak muncul muka, dia macam tidak mahu bertanggungjawab apa-apa. Orang kata, lepas tangan. Yang polis trafik tu sampaikan pada saya, dia suruh saya buat laporan untuk kes tu selesai di situ sahaja.
“Langsung tiada apa-apa tindakan. Saya tidak puas hati... sekurang-kurangnya dia melawatlah. Ini langsung tidak nampak muka,” keluh Muhd Sofri.
Dia juga buat masa ini terpaksa menolak nasihat doktor untuk melakukan pembedahan mengeluarkan semula besi yang ditanam dalam pahanya, kerana tidak mampu menanggung kos operasi itu. Muhd Sofri bagaimanapun menyedari keputusannya itu membawa risiko tersendiri.
“Pihak hospital suruh saya datang untuk pembedahan balik. Bukan saya tidak mahu, cuma faktor kewangan itu yang masalah bagi saya. Lagi satu, kos perbelanjaan ulang alik hospital, kos-kos yang lain lagi perlu ada. Jadi terpaksalah saya biar dahulu,” ujarnya.
Dengan titisan air mata, Muhd Sofri berkongsi keadaan serba kekurangannya dalam bulan Ramadan ini. Adakalanya dia tidak dapat menyediakan makanan untuk bersahur atau berbuka puasa, dan banyak kali juga dia mengakui tidak dapat memenuhi permintaan dan keperluan anak lelakinya yang baru berumur 5 tahun.
“Saya kan menumpang di rumah kakak ipar saya. Apa yang ada itulah yang kami makan. Kalau sahur tu kami makanlah ramai-ramai. Kadang-kadang cukup makan, kadang-kadang tidak. Semenjak dari kemalangan tu, punca pendapatan sudah tidak ada, Sedih juga tengok anak, dia minta beli itu dan ini. Kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak,” ceritanya lagi.
Walaupun pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mencarum dengan Perkeso sebelum bekerja sendiri sebagai penghantar makanan, permohonannya untuk mendapatkan bantuan dari badan itu sehingga hari tidak membuahkan hasil.
Kehidupan Muhd Sofri buat masa ini menumpang belas ihsan kakak iparnya. Mujur setakat ini kakak iparnya itu sanggup menanggung makan minum mereka sekeluarga selain menerima sedikit bantuan dari Skuad Keluarga Prihatin Tawau serta Asmaul Husna Prihatin Tawau.
“Sebagai kakak, saya bertanggungjawab penuh pada mereka, Mana keperluan dia, semua saya yang tanggung termasuk makan minum. Sebelum kemalangan pun saya ringan sikitlah, tapi sesudah dia kemalangan ni, saya dengan suami lebih tertumpu pada merekalah,” kata Marwina Damsid.
Muhd. Sofri yang berkahwin dengan isterinya, Mussah Bentosan, 28, sejak tahun 2016 telah dikurniakan seorang anak lelaki yeng kini berumur 5 tahun. Dia sama sekali tidak menyangka kehidupan mereka sekeluarga akan berhadapan kehidupan sukar namun menganggapnya satu ujian daripada Tuhan.
Bagi rakyat Malaysia yang prihatin dan ingin membantu Muhd Sofri dan keluarganya, boleh hubungi talian 016-708 6224, atau terus menyalurkan bantuan ke akaun milik Muhd Sofri Suhadi 160037313557 (Maybank).