Perisytiharan darurat pilihan terbaik untuk rakyat - Dr Shamrahayu

Astro Awani
November 18, 2020 10:53 MYT
Perisytiharan darurat di Batu Sapi yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia dalam berdepan pandemik COVID-19 yang membimbangkan di Sabah, ujar Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.
KUALA LUMPUR: Perisytiharan darurat di Batu Sapi yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia dalam berdepan pandemik COVID-19 yang membimbangkan di Sabah, ujar Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Jelasnya, walaupun perkataan darurat itu 'digeruni' dan 'ditakuti', namun perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berdasarkan undang-undang dibenarkan bagi memastikan rakyat berasa selamat.
"Pada saya, sekiranya pandemik ini membimbangkan dan mendatangkan kemudaratan kepada rakyat, maka itu adalah pilihan terbaik untuk kita mengambil pendekatan yang dibenarkan undang-undang.
"Sebabnya walaupun kita menggunakan perkataan yang sangat digeruni dan ditakuti oleh rakyat, tetapi perkara itu dibenarkan undang-undang.Saya percaya mengambil kira cara Yang di-Pertuan Agong mendekati dan mendepani isu-isu ini, saya fikir rakyat mesti rasa selamat dengan keputusan itu. Lebih selamat dari meneruskan pilihanraya," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah - Istana Negara
Ujarnya, apa yang penting ialah pengisytiharan darurat itu dilakukan dalam keadaan negara menghadapi suatu keadaan yang 'terkusut' pada masa ini.
"Yang penting pengisytiharan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan baginda berpuas hati bahawa (darurat) untuk mengelak sebaran pandemik dan membahayakan nyawa rakyat baginda.
"Kalau nak kata ia (perisytiharan) adalah suatu yang baik, ia bergantung kepada kes," tambahnya.
Bagaimana dengan Gerik?
Justeru, beliau melihat keperluan untuk melakukan perkara yang sama ke atas kekosongan kerusi Parlimen Gerik, jika pandemik itu benar-benar memberi kesan bahaya kepada rakyat.
"Kalau kes di Gerik, kalau tiada masalah dengan pandemik ini, maka perlu kita angkat demokrasi itu. Maknanya proses demokrasi itu boleh diteruskan. Namun, jika proses demokrasi itu membahayakan, ia (pilihan raya) tak perlu kerana nyawa rakyat lebih penting daripada meletakkan satu wakil rakyat yang sebenarnya sudah ada parti-parti lain.
"Memang penting demokrasi, namun kalau dibandingkan dengan ancaman nyawa rakyat ini, ini boleh dijadikan contoh dan Batu Sapi boleh dijadikan Tuanku untuk mengambil pendekatan melihat kepada kepentingan rakyat," tambah beliau.
Dalam pada itu katanya, tiada undang-undang lain yang boleh mengatasi perlembagaan kecuali undang-undang darurat dibuat di bawah Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.
"Di sini ada dua perkara, iaitu pertama, bolehkah hanya tempat untuk di Bt sapi itu Sapi sahaja? Jawapannya betul. Boleh dilakukan untuk satu tempat sahaja sebab Perkara 150 itu menyatakan, di bahagian ketenteraman awam itu tergugat atas sebab darurat yang besar dalam persekutuan atau mana-mana bahagian dalam persekutuan.
"Maknanya bahagian persekutuan itu adalah bahagian kecil itu di Batu Sapi kerana undang-undang berkaitan dengan pilihan raya itu telah ditetapkan oleh Perkara 54, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Ia tidak boleh diatasi oleh mana-mana peruntukan lain kecuali peruntukan darurat," kata beliau lagi.
Adakah boleh dibahas?
Mengulas sama ada perisytiharan proklamasi darurat di Batu Sapi masih boleh didebat di Parlimen, ini jawapan beliau:
"Apakah maksud Parlimen bersidang secara serentak itu ditafsirkan di bawah Perkara 150 dalam Fasal 9. Yang dimaksudkan dalam perkara ini ialah "Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang jika ahli majlis itu berhimpun bersama dan menjalankan urusan majlis itu".
"Saya kena tengok apa yang berlaku di Parlimen sekarang. Kalau Yang di-Pertuan Agong sudah melakukannya di bawah Fasal b2 ini, ia tidak perlu dibahaskan di Parlimen sebab Yang di-Pertuan Agong yang buat ordinan itu.
"Ia dikira sah. Walaupun ordinan itu bercanggah dengan Perkara 54. Namun, oleh kerana ordinan itu dibuat masa darurat, maka ia suatu yang sah walaupun ia bercanggah dengan Perkara 54," tambahnya.
Ujar beliau, perkara seumpama ini pertama kali berlaku di Malaysia kerana ketenteraman awam yang melibatkan kesihatan awam.
"Sebelum ini memang darurat diisytiharkan, namun kebanyakannya sebab hubungan kaum, di Sarawak sebab politik, di Kelantan sebab politik. Ini pertama kali berlaku melibatkan ketenteraman awam dikaitkan dengan kesihatan awam.
"Ini menunjukkan bahawa perlembagaan negara kita ini sangat komprehensif. Ia boleh digunakan dalam keadaan ketidaktenteraman awam, dan ia boleh digunakan dalam keadaan sukar sekarang iaitu pandemik ini.
Justeru katanya, peruntukan perlembagaan ini menjadikan kerajaan mentadbir berdasarkan peraturan dan menjadi sebahagian rule of law.
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #darurat #Batu Sapi #Pakar Perlembagaan #Shamrahayu Abd Aziz #pandemik #COVID-19 #rakyat #keselamatan #kesihatan