#PeristiwaHariIni: Seniman agung Tan Sri P Ramlee dilahirkan

Israr Khalid
Mac 22, 2022 09:18 MYT
P Ramlee, seniman agung yang tiada galang gantinya.
Hari ini 93 tahun yang lalu, seniman agung Tan Sri P Ramlee dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang.
Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh @ Ramli bin Puteh mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kg Jawa (kini SK P Ramlee) sebelum ke Sekolah Francis Light kemudian di Penang Free School sehinggalah meletusnya Perang Dunia II.
Pada 1947, beliau menjuarai pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya di mana beliau menggunakan nama P Ramlee. Bakatnya kemudian dikesan pengarah BS Rajhans yang menjemputnya menyertai Malay Film Productions (MFP) sebagai penyanyi latar.
Filem Chinta (1948) menjadi filem pertama lakonannya di samping menyumbangkan suara. Karier muziknya semakin berkembang apabila menjadi penyanyi utama orkestra Radio Malaya, juga karier lakonannya apabila mula menjadi bintang utama filem-filem MFP.
Pada 1955, beliau mengarahkan filem pertamanya, Penarek Becha di mana beliau turut menjadi bintang utama dan pencipta lagu untuk filem tersebut. Sejak itu, beliau terus melakar nama selaku pelakon, penyanyi, penulis dan penggubah lagu serta pembikin filem Melayu.
Filem ‘Anak-ku Sazali’ (1956) mengangkat P Ramlee di mata dunia apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia ke-4 di Tokyo. Pada FFA ke-10 pula, beliau diangkat sebagai “Most Versatile Talent” menerusi filem arahannya “Ibu Mertua-ku.”
Selepas mengarahkan 17 filem Studio Jalan Ampas, Singapura, beliau berpindah ke Studio Merdeka (kini pejabat Finas) di Kuala Lumpur pada 1964. Di situ beliau mengarahkan lagi 18 filem, bermula dengan “Sitora Harimau Jadian” dan diakhiri “Laksamana Do Re Mi” (1972).
Pada 29 Mei 1973, P Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya di usia 44 tahun dan disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Sepanjang hayatnya, beliau membintangi hampir 70 filem, mengarahkan 35 daripadanya dan mencipta kira-kira 1,000 lagu.
Di tarikh kelahirannya pada 1986, bekas kediamannya di No.22, Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur dibuka secara rasmi sebagai Pustaka Peringatan P Ramlee.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, P Ramlee: Erti Yang Sakti (Ahmad Sarji, 1999), Kelab Peminat P Ramlee
#PeristiwaHariIni #P Ramlee
;