#PeristiwaHariIni: Balai Polis Bukit Kepong musnah diserang komunis (1950)

Israr Khalid
Februari 23, 2022 08:41 MYT
Sarjan Jamil Mohd Shah dan 21 orang polis dan polis bantuan bertugas di Balai Polis Bukit Kepong. - Foto Arkib Negara Malaysia
HARI ini 72 tahun yang lalu, Balai Polis Bukit Kepong musnah diserang komunis.
Bukit Kepong adalah sebuah pekan terpencil di selekoh Sungai Muar kira-kira 59km dari Bandar Muar, Johor. Lokasinya yang terasing menjadikannya sasaran gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang sedang memberontak melawan British.
Pada 4.15 pagi 22 Februari 1950, ketika Sarjan Jamil Mohd Shah dan 21 orang polis dan polis bantuan sedang bertugas di Balai Polis Bukit Kepong, mereka dikepung dan diserang kira-kira 185 anggota gerila komunis yang dipimpin Mat Indera.
Bermula dengan Mata-Mata Jaafar Hassan menembak mati komunis yang cuba memotong kawat berduri pertahanan balai tersebut, meletus pertempuran tembak menembak yang tegal ditahan pihak polis walaupun kekuatan musuh berganda lebih besar.
Berita sampai ke Kampung Jawa berdekatan yang bertindak menghantar sekumpulan penduduk bersenjata raifal dan senapang patah ke sana, namun terkandas apabila mereka diserang sepasukan komunis di tengah jalan.
Pada masa sama, sekumpulan penduduk Kampung Durian Chondong menaiki bot untuk memberi bantuan turut diserang hendap komunis. Mereka yang terselamat bergerak ke Lenga untuk memaklumkan kepada balai polis di sana.
Sekitar 7 pagi, komunis menawan isteri Mata-Mata Mohamad Jaafar, Mariam Ibrahim; isteri Mata-Mata Abu Bakar Daud, Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan untuk mengugut polis supaya menyerah. Sarjan Jamil tetap mahu berjuang hingga penghabisan.
Keengganan itu menyebabkan Fatimah dibunuh, Mariam dicederakan dan pertempuran diteruskan. Satu persatu perwira gugur termasuk dua wanita yang turut mengangkat senjata setelah melihat suami masing-masing terkorban.
Akhirnya selepas lima jam, balai ditawan dan dibakar bersama berek kelamin di belakangnya. Ada isteri dan anak anggota terperangkap, rentung bersama mayat anggota yang gugur. Hassan anak Fatimah dan mereka yang parah turut dihumban hidup-hidup ke dalam api.
Komunis yang hilang kira-kira 40 anggotanya kemudian berundur semula ke dalam hutan selepas membunuh 25 nyawa polis, polis bantuan, pengawal kampung dan orang awam. Hanya empat orang polis dan sembilan ahli keluarga yang terselamat.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, PDRM
#Bukit Kepong #Peristiwa Hari Ini #komunis #polis
;