Peristiwa Tak Bai: Perjuangan menuntut keadilan berbaki dua tahun lagi
Rahimah Abdullah
Oktober 27, 2022 22:52 MYT
Oktober 27, 2022 22:52 MYT
BARISAN Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menyeru komuniti Islam Thailand agar tidak berhenti memperjuangkan keadilan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai Tak Bai 18 tahun lalu.
Perunding BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, mengikut undang-undang jenayah Thailand, kes tersebut akan luput dalam tempoh dua tahun sahaja lagi dan pihak terlibat akan bebas daripada hukuman.
“Sehingga hari ini, tiada pesalah dikenakan hukuman oleh undang-undang Thailand walaupun berlaku kematian beratus-ratus penduduk Islam. Pemimpin politik Thailand dan pegawai keselamatan terlibat mengarahkan tindakan kejam ke atas penunjuk perasaan aman merupakan penjenayah kemanusiaan.
“Mereka yang terlibat sewajarnya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) berikutan kekejaman itu kerana jelas berlakunya pelanggaran hak asasi manusia,” katanya menerusi Perutusan dan Tuntutan Rakyat Patani Sempena Peristiwa Tak Bai.
BRN menurutnya, mahu tuntutan komuniti Islam berkaitan peristiwa Tak Bai dipenuhi kerana peristiwa hitam itu menjadi prasyarat membina keyakinan kepada rundingan pihak berkonflik di selatan Thailand.
Malah, tragedi yang berlaku di bulan Ramadan 2004 itu kini diperingati setiap tahun oleh penduduk Islam di selatan Thailand sebagai satu sejarah hitam.
"Ia berlaku di hadapan balai polis Tak Bai apabila penduduk Islam melancarkan protes aman bagi membantah penahanan enam sukarelawan keselamatan kampung.
"Mereka ditangkap kerana dituduh merompak senjata api milik kerajaan Thailand dan membekalkannya kepada pejuang kemerdekaan Patani. Protes pada mulanya berlangsung aman sebelum polis Thailand melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.
"Anggota keselamatan juga melepaskan tembakan peluru hidup secara rambang ke arah peserta protes yang terdiri daripada penduduk tempatan. Berikutan itu, lapan mati ditembak pasukan keselamatan Thailand dan lebih 1,200 lagi ditahan di sebuah kem tentera di Patani.
"Ketika itulah, tahanan disiksa dengan kejam sebelum dilonggokkan di trak tentera secara bertindih satu sama lain. Keganasan itu membunuh 78 peserta protes dan selepas siasatan dibuat mendapati punca kematian adalah sesak nafas kerana terlalu lemah ekoran berpuasa," tambah beliau.
Menurut Dr. Nikmatullah, kes tersebut mendapat perhatian komuniti antarabangsa kerana berlaku pelanggaran hak asasi manusia selain menunjukkan kekejaman pasukan keselamatan ke atas penduduk minoriti.
"Dengan itu, sangat wajar jika pemimpin politik dan anggota keselamatan terlibat di dalam kes pembunuhan beramai-ramai Tak Bai dibawa ke mahkamah dalam dan luar negara," ujarnya.