Peristiwa diserang hendap tidak dapat dilupakan pemandu trak tentera
Bernama
Ogos 28, 2021 13:16 MYT
Ogos 28, 2021 13:16 MYT
JEMPOL: Peristiwa diserang hendap oleh tentera Indonesia sebaik tiba di Batu Lintang, Sarawak antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Lans Koperal Yaacob Ahmad, 86, sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam ketenteraan.
Masih segar dalam ingatan Yaacob yang bertugas sebagai pemandu trak tentera ketika itu sedang membawa sepasukan anggota tentera menuju ke kem utama di Sarawak telah diserang hendap pada waktu malam di kawasan terpencil di Batu Lintang sekitar 1960-an.
Menceritakan detik cemas itu, dia dan pasukan dibantu oleh askar Gurkha yang bertindak melindungi mereka daripada terkena tembakan sementara pasukan bersiap sedia dengan senjata masing-masing sebelum bertempur dengan tentera lawan.
"Kami bernasib baik apabila askar Gurkha datang memberikan bantuan. Mereka memberi jaminan keselamatan kepada kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Lonek hari ini.
Anak kelahiran Jempol itu turut mengimbau masa lalu ketika awal perkhidmatannya sebagai askar British Malaya di Singapura selama dua tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Sebagai pemandu trak yang ditugaskan membawa meriam dan senjata api, dia tidak menafikan memikul tanggungjawab berat dan sentiasa bersiap sedia dalam apa jua situasi meskipun berdepan risiko diserang oleh pengganas.
Katanya, perasaan ketika itu bercampur baur kerana bimbang diserang hendap oleh pengganas sepanjang perjalanan untuk menghantar senjata meskipun terlatih peka dengan keadaan sekeliling.
"Bagaimanapun saya bersyukur sepanjang bertugas di Singapura tidak ada kejadian tidak diingini berlaku sebelum ditempatkan di beberapa kem di Kajang, Selangor; Sungai Besi, Kuala Lumpur dan terakhir di Taiping, Perak pada 1976," katanya yang mula menyertai ketenteraan pada 1955 hingga 1976 itu.
Mengingat semula tarikh keramat 31 Ogos 1957, bapa kepada 11 orang anak itu berkata perasaan kegembiraan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata biarpun ketika itu sedang bertugas di Singapura.
"Apa yang dapat saya katakan jerih perih untuk merdekakan negara daripada penjajah bukanlah tugas mudah kerana perlu berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta," katanya.
Mengambil contoh situasi pandemik COVID-19 ketika ini, Yaacob berkata seluruh rakyat perlu bersatu hati berjuang memerangi wabak maut itu dengan mematuhi setiap arahan kerajaan dan memberi kerjasama baik dengan semua petugas barisan hadapan.
Bagi pesara tentera Lans Koperal Kamaruzaman Md Shah, 60, pula meskipun tidak bertempur ketika zaman pemerintahan penjajah, dia menyifatkan kejadian berbalas tembakan ketika diserang lanun di Pulau Banggi, Sabah sekitar 1980 merupakan cabaran buat dirinya.
Dia berkata ketika mempertahankan tanah air daripada dicerobohi lanun, kekuatan pasukan tentera berjaya menghalau lanun tersebut keluar ke perairan antarabangsa.
Katanya, lima tahun berkhidmat di Kudat, Sabah, dia yang bertugas di bahagian semboyan berkata cabaran lain dilaluinya adalah memikul peralatan dan barangan termasuk radio seberat 70 hingga 100 kilogram ketika meredah hutan.
"Selain kekuatan dari segi fizikal, ketika itu juga saya perlu melawan emosi dan tabahkan diri kerana tidak dapat balik beraya dan perlu berjauhan dengan keluarga," katanya yang berasal dari Jelebu.
Kamaruzaman menyifatkan cabaran dihadapi negara kini lebih hebat apabila perlu memerangi musuh yang tidak kelihatan iaitu COVID-19 dalam tempoh dua tahun ini, justeru menjadi tanggungjawab setiap individu memerangi wabak maut itu sehingga negara mencapai kemenangan.
-- BERNAMA