Perisian tidak sah: Seniman dan PFM cadang hukuman lebih berat
Fareez Azman
Februari 17, 2021 16:41 MYT
Februari 17, 2021 16:41 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan agensi itu mensabitkan seorang pengarah syarikat di atas kesalahan memiliki kotak media yang mempunyai perisian tidak sah di Mahkamah Shah Alam pada Selasa.
Jelasnya, isu cetak rompak digital menggunakan aplikasi atau perisian tidak sah ini telah membelenggu industri kreatif sejak sekian lama.
"Cabaran kita pada zaman ini, melalui cetak rompak digital, daripada pandangan Seniman, ini kejayaan besar dan patut dirai orang industri. Sebelum ini, masalah ini kita rasa amat sukar diselesaikan, tapi hari ini ia menjadi satu titik permulaan kepada industri seni dan jadi kes contoh," katanya.
Malah tambah Zed, kerjasama pihak berkuasa dan agensi berkaitan dijangka dapat membantu menyelesaikan lebih banyak masalah cetak rompak secara digital dan fizikal di masa hadapan.
Ia sekali gus memberikan keadilan buat pemain industri kreatif tanah air yang menjadi mangsa terhadap jenayah itu.
"Insyallah kita melalui SKMM, PDRM, KPDNHEP, FINAS dan MY IPO boleh membantu menyelesaikan banyak lagi masalah cetak rompak digital dan fizikal. Ini kita harapkan saya ucapkan tahniah SKMM dan PDRM terus banteras cetak rompak di Malaysia," katanya lagi ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam pada itu, nada sama turut dilontarkan Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Aris mengenai kegiatan tidak bermoral itu.
Jelasnya, pesalah seharusnya dikenakan hukuman lebih berat mengikut Akta Hak Cipta 1987.
"Saya bersetuju bahawa hukuman ini tersangatlah ringan. Dalam masa yang sama penjenayah ini dikenakan juga di bawah Seksyen 232 di bawah Akta Hak Cipta.
"Sudah pastinya android box mempunyai pelbagai kandungan. Jadi, dalam masa sama, satu kandungan kalau dikira pastinya lebih besar daripada dinyatakan dalam media, iaitu RM30,000 sahaja. Ini adalah satu yang tersangat ringan bagi saya sebab kerugian terlalu besar untuk kita hadapi," katanya.
Semalam, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#PDRM
#SKMM
#FINAS
#shah alam
#Polis Diraja Malaysia
#presiden
#mangsa
#mahkamah
#jenayah
#filem
#Malaysia
#industri kreatif
#cetak rompak digital
#Perisian tidak sah
#Aplikasi tidak sah
#android box
#Astro
#Zed Zaidi
#Presiden Seniman