Menurut Pengurus Besar Kaspersky Rantau Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong, hasil pemantauan menunjukkan sebanyak 360,000 fail malware dikenal pasti setiap hari pada tahun lalu.
"Jumlah sampel perisian hasad unik yang kami dapati pada tahun lalu (2020) adalah 360,000 fail setiap hari, iaitu peningkatan 5.2 peratus berbanding dengan statistik 2019.
"Anjakan digital semasa dan pandemik COVID-19, memang menimbulkan peningkatan ancaman terhadap individu dan institusi awam serta swasta di Malaysia dan peringkat global.
"Kami telah melihat banyak pelanggaran data besar-besaran tahun lalu bukan hanya di negara ini tetapi di seluruh rantau Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan media.
Justeru itu, organisasi kerajaan dan swasta katanya disarankan mengambil tujuh langkah berikut bagi mengelak daripada menjadi mangsa perisian hasad dan serangan siber.
- Mendidik pekerja secara berterusan mengenai risiko dalam talian terutama apabila bekerja dari rumah. Sangat sesuai diadakan sesi latihan keselamatan siber secara berkala dan interaktif untuk mengingatkan pekerja ketika menggunakan internet.
- Menggunakan kata laluan yang baik oleh semua peranti digunakan pekerja yang disambungkan ke rangkaian organisasi.
- Pastikan penggunaan perisian yang diperbaharui, sah, dan dikemas kini secara berkala.
- Pastikan penyelesaian komprehensif dan menyeluruh serta sentiasa bersedia jika berlaku insiden serangan siber.
- Aktifkan akses keselamatan secara berlapis dengan hanya memberi kebenaran kepada pengguna yang disahkan sahaja. Semakan berkala perlu dilakukan bagi memastikan status pengguna.
- Malware baharu yang lebih sofistikated dan dirancang dengan tujuan merosakkan komputer sentiasa digunakan oleh penjenayah siber. Justeru, pastikan sistem komputer sentiasa dikemas kini dengan menyepadukan suapan data ancaman global menerusi laporan risikan keselamatan siber.
- Sekiranya berlaku serangan siber, laporkan kepada agensi sekuriti siber untuk penyiasatan dan pemulihan.