Perintah Mahkamah Majistret halang Siti Kasim daripada perhimpunan 2022 adalah sah

Bernama
September 24, 2024 20:50 MYT
Hakim yang menolak permohonan Siti dan pemohon bersama Raveentharan untuk semakan kehakiman terhadap perintah yang dibuat pada 2022, memutuskan perintah itu dikeluarkan untuk mengawal atau mencegah penyebaran virus COVID-19 pada masa itu. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa perintah larangan Mahkamah Majistret yang menghalang Siti Kasim dan seorang individu lain daripada menyertai perhimpunan 2022 yang menuntut peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, adalah sah di sisi undang-undang.
Perhimpunan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 pada 22 Jan 2022 itu diadakan berikutan skandal pemilikan saham melibatkan Azam, namun Azam menjelaskan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham berkenaan dibeli oleh adiknya menggunakan nama beliau.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini yang menolak permohonan Siti dan pemohon bersama S. Raveentharan untuk semakan kehakiman terhadap perintah yang dibuat pada 2022, memutuskan perintah itu dikeluarkan untuk mengawal atau mencegah penyebaran virus COVID-19 pada masa itu.
"Dengan itu, perintah yang dibuat oleh Mahkamah Majistret adalah sah, oleh itu ia tidak boleh disemak secara kehakiman. Justeru, permohonan ini ditolak dan tiada perintah mengenai kos," kata hakim.
Siti diwakili peguam Kee Hui Yee manakala Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Nur Irmawatie Daud mewakili ketua polis negara, kerajaan dan dua pegawai polis.
Pada awalnya, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti dan Raveentharan untuk memulakan semakan kehakiman, namun pada Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kedua-dua pemohon untuk kebenaran dan mengembalikan tindakan itu kepada Mahkamah Tinggi bagi mendengar merit semakan kehakiman.
Menerusi cabaran itu, Siti dan Raveentharan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau ganti rugi teladan atas dakwaan pencabulan hak asasi mereka terhadap kebebasan bergerak, bersuara dan berhimpun.
Siti juga meminta pampasan atas penghinaan dan kesengsaraan mental yang didakwa dialaminya, serta kekejangan kaki yang teruk.
-- BERNAMA
#Mahkamah Majistret #Siti Kasim #perhimpunan 2022 #Azam Baki #COVID-19
;