Perintah larangan pergerakan, ramai pilih pulang ke kampung
Bernama
Mac 17, 2020 05:52 MYT
Mac 17, 2020 05:52 MYT
Menjelang tengah malam Rabu, saat bermulanya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia, beberapa lokasi iaitu stesen pengangkutan awam dan balai-balai polis menjadi tumpuan orang ramai yang mahu bergerak pulang ke kampung halaman.
Tindakan mereka yang berpusu-pusu menyerbu balai-balai polis dan stesen pengangkutan awam seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sehingga menimbulkan kesesakan untuk mendapatkan borang rentas negeri bagi membolehkan mereka bergerak keluar sebelum perintah itu dikuatkuasakan mulai esok hingga 31 Mac.
Diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, Perintah Kawalan Pergerakan yang dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, antara lain bertujuan mengehadkan pergerakan orang ramai bagi menyekat penularan COVID-19.
Namun, kesesakan yang berlaku dan ramai orang berada di tempat awam pada satu-satu masa itu berkemungkinan boleh meningkatkan lagi jumlah kes penularan COVID-19.
Melihat kepada visual yang tular di media sosial sejak lewat petang Selasa, seakan-akan orang ramai masih mengambil mudah aspek keselamatan terutamanya penjarakan sosial yang mesti dilakukan bagi mengelakkan jangkitan virus itu.
"Mana kesedaran dan tanggungjawab anda?" Itu adalah persoalan utama yang berlegar di fikiran apabila wartawan Bernama melakukan tinjauan di TBS dan beberapa balai polis di sekitar Kuala Lumpur malam tadi.
Tiada jarak selamat malah rata-rata pengunjung di kedua-dua lokasi 'panas' itu berada dalam suasana seolah-olah musim perayaan apabila orang ramai bertumpu di stesen bas untuk pulang beraya.
Ketika ditanya alasan mereka berada di TBS, rata-ratanya yang kebanyakan penuntut institusi pengajian tinggi memberi jawapan bahawa mereka tiada pilihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari itu.
Bagi seorang penuntut UiTM Puncak Alam, yang hanya mahu dikenali sebagai Nabila, 20, berkata dia terpaksa pulang ke kampung berikutan penutupan kolej dan tiada kemudahan tempat tinggal dan makan.
Beliau, yang mencuba nasib membeli tiket untuk pulang ke Pulau Pinang, berkata walaupun sedar dengan risiko yang dihadapi, beliau tiada keluarga di Kuala Lumpur untuk tinggal sementara waktu.
"Saya akan pakai penutup hidung dan mulut serta guna cecair pembasmi kuman sepanjang perjalanan, " katanya.
Seorang pembantu hospital, yang enggan dikenali, berkata beliau sekeluarga terpaksa balik kampung malam tadi kerana ibunya sakit dan mematuhi arahan untuk mengisi borang rentas negeri di balai polis.
"Kami memang kena balik malam ini, sebab itu kami datang ke balai polis untuk mendapatkan kebenaran," katanya yang mahu pulang ke kampung di Perak.
Bagaimanapun menjelang tengah malam tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menangguhkan sementara arahan pengisian borang permit rentas negeri berikutan kesesakan di balai-balai polis di seluruh negara sejak pengumuman mengenainya dikeluarkan, petang tadi.
Hasri Tahir, 40, berkata beliau sekeluarga terpaksa mencuba nasib untuk pulang ke Sabah menaiki kapal terbang bagi penerbangan yang dijadualkan awal pagi ini berikutan tiket telah dibeli dua bulan lepas.
"Jika ditahan di lapangan terbang, kami tidak boleh buat apa-apa, terpaksa balik ke rumah di sini sahajalah. Kalau dapat balik lebih bagus," katanya yang tinggal di Sungai Besi.
-- BERNAMA
#balai polis
#balik kampung
#borang rentas negeri
#cecair pembasmi kuman
#COVID-19
#jangkitan
#jarak selamat
#kesesakan
#pengangkutan awam
#penjarakan sosial
#penutup hidung dan mulut
#perintah kawalan pergerakan
#perjalanan
#TBS