Perintah Kawalan Pergerakan digazet, hukuman 6 bulan penjara, tambahan sektor penting
Azyyati Ahmad
Mac 18, 2020 09:45 MYT
Mac 18, 2020 09:45 MYT
Jabatan Peguam Negara hari ini menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Warta itu memaklumkan mengenai peraturan-peraturan penting yang perlu dipatuhi sepanjang berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.
Peraturan-peraturan ini berkuat kuasa bagi tempoh mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.
Menurut warta tersebut, mereka yang melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan ini boleh disabitkan denda tidak melebihi RM1,000, atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.
Sebanyak 22 sektor perkhidmatan penting negara turut disenaraikan dalam perkhidmatan penting negara, memperlihatkan beberapa penambahan dalam senaraian seperti hotel dan penginapan, hidupan liar dan e-dagang.
Terdahulu, sebelum warta ini dikeluarkan hari ini, Seksyen 11(4) Akta 342 dibaca bersama Seksyen 24(a) akta sama menegaskan, sesiapa yang melanggar garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan boleh dipenjarakan selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Ini apa yang anda perlu tahu mengenai Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
BACA: Jangkitan COVID-19 boleh meningkat jika masyarakat tidak endah Perintah Kawalan Pergerakan - Fuziah
#Jabatan Peguam Negara
#Peguam Negara
#perintah kawalan pergerakan
#Warta Kerajaan
#Warta Kerajaan Persekutuan