Perintah Kawalan Pergerakan: Apa nak buat kalau kereta rosak?
Bernama
Mac 24, 2020 18:20 MYT
Mac 24, 2020 18:20 MYT
Setelah enam hari Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, orang ramai kini kebanyakannya sudah membiasakan diri dengan pembelian barangan dapur dan juga makanan secara dalam talian.
Namun, masih ramai yang tertanya-tanya tentang perkhidmatan kecemasan kenderaan bermotor seperti menukar bateri atau tayar.
Persoalan ini kebanyakannya berlegar di fikiran pekerja-pekerja yang tertakluk di bawah perkhidmatan penting dan perlu bergerak menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja.
Kebimbangan ini tentunya lebih meruncing melihatkan keadaan di jalan raya yang kini kosong dan sunyi.
Sekiranya 'tersangkut' dalam situasi itu, bagaimana hendak mendapatkan bantuan?
Tinjauan dalam talian oleh Bernama mendapati orang ramai kini boleh menghela nafas lega kerana perkhidmatan ini juga boleh ditempah dalam talian.
Misalnya, melalui aplikasi 'Bateriku' yang menyediakan servis penghantaran dan pemasangan bateri kereta, dan juga 'Carput' yang menawarkan perkhidmatan 'towing', penukaran tayar kereta, penghantaran petrol dan juga bateri kereta.
Aplikasi bateriku.com di telefon pintar contohnya, membolehkan pelanggan membuat tempahan dengan mengisi lokasi, jenama dan model kereta.
Kemudian, pilih bateri mengikut harga dan waranti yang dimahukan, sebelum ejen yang berdekatan dengan radius lokasi pelanggan, ditugaskan untuk datang dalam masa 45 minit.
"Kami bekerja dari rumah dan bertugas hanya di sekitar kawasan tempat tinggal. Seperti saya di sekitar Keramat, Wangsa Maju dan Melawati dan saya juga dibekalkan dengan surat kebenaran untuk bergerak," kata ejen bateriku.com yang hanya ingin dikenali sebagai Fahmi.
Walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan, harga yang dikenakan tetap sama seperti hari biasa, iaitu harga bateri sahaja dengan servis penukaran percuma.
Tinjauan di bengkel-bengkel kereta juga mendapati terdapat bengkel yang meletakkan nombor telefon mereka sekiranya orang ramai memerlukan servis kecemasan.
Sementara itu, Carput di laman sosial mereka mengingatkan pemilik kereta untuk menghidupkan kereta selama 15 hingga 20 minit setiap tujuh hari bagi mengelak masalah bateri ketika perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan.
-- BERNAMA