Perintah Kawalan Pergerakan: 6 soalan lazim yang ditanya pada MPIC

Kenyataan Media
Mac 20, 2020 11:57 MYT
Setiap pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang perlu melaksanakan perkara- perkara berikut untuk mengurangkan risiko potensi jangkitan COVID-19 di kalangan pekerja semasa tempoh Perintah. -Foto PixaBay /TK Tan
SUSULAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sejak Rabu (18 Mac), sektor komoditi juga turut terjejas sehingga menimbulkan pelbagai persoalan oleh orang ramai.
Berikut soalan-soalan lazim yang ditujukan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
1. Adakah sektor perladangan dan komoditi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri?
Ya. Ini bermakna semua kerja di sektor perladangan dan komoditi tertakluk kepada perintah yang dikeluarkan.
2. Adakah terdapat kelonggaran terhadap mana-mana subsektor perladangan dan komoditi dari Perintah tersebut?
Ada, iaitu bagi kerja-kerja yang terlibat secara langsung dengan pengeluaran produk yang dikategorikan sebagai essential items dan kritikal di bawah sektor perladangan dan komoditi.
3. Apakah subsektor, aktiviti dan siapa yang dibenarkan terlibat dengan kelonggaran di sektor perladangan dan komoditi?
SAWIT
(i) Aktiviti yang terlibat bagi subsektor sawit adalah seperti berikut:
(a) Penuaian buah tandan segar sawit oleh syarikat perladangan dan pekebun kecil;
(b) Penjualan buah tandan segar sawit kepada peniaga buah sawit;
(c) Pemprosesan buah tandan segar dilaksanakan oleh kilang-kilang sawit; dan
(d) Pemprosesan minyak sawit mentah di kilang penapis untuk pengeluaran minyak masak bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.
(ii) Pihak yang terlibat dengan kelonggaran ini adalah pemilik ladang/pekebun kecil, peniaga buah sawit (DF), pengilang buah kelapa sawit (MF) dan pengilang penapis (RF) yang mempunyai lesen yang berdaftar dan masih sah dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
GETAH
(i) Aktiviti yang terlibat bagi subsektor getah adalah penorehan getah bagi tujuan pembekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter; dan
(ii) Pihak yang terlibat dengan kelonggaran ini adalah:
(a) Pemilik ladang atau pekebun kecil yang memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G);
(b) Pembeli getah berlesen yang masih sah dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM); dan
(c) Syarikat pemprosesan getah bagi memenuhi keperluan untuk penghasilan produk peralatan perubatan dan lain-lain.
KAYU-KAYAN
(i) Aktiviti pemprosesan industri kayu-kayan melibatkan konsainmen sebagaimana dalam kontrak sedia ada sahaja tertakluk kepada syarat- syarat seperti berikut:
(a) Permohonan lesen hanya akan dipertimbangkan menerusi sistem online Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB); dan
(b) Pihak yang terlibat perlu mengemukakan senarai pekerja yang terlibat kepada MTIB semasa tempoh ini dan memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis.
4. Apakah prosedur pencegahan yang perlu diambil?
Setiap pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang perlu melaksanakan perkara- perkara berikut untuk mengurangkan risiko potensi jangkitan COVID-19 di kalangan pekerja semasa tempoh Perintah:
(i) Pemeriksaan dan Pemantauan Kesihatan Sebelum Operasi
(a) Semua pekerja adalah tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan sebelum memasuki kawasan operasi dengan menggunakan non- contact thermometer dan pemeriksaan bagi simptom-simptom COVID-19;
(b) Maklumat mengenai tahap kesihatan pekerja hendaklah direkodkan dan disimpan oleh pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang;
(c) Semua pekerja hendaklah sentiasa mengekalkan kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dengan mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter dengan pekerja yang lain; dan
(d) Mana-mana pekerja yang telah dikenalpasti menunjukkan simptom-simptom COVID-19 hendaklah diberikan akses untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera dan tindakan kuarantin perlu diambil. Justeru, pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang perlu menyediakan tempat kuarantin yang bersesuaian sekiranya kejadian ini berlaku.
(ii) Tindakan Pencegahan Semasa Operasi
(a) Pengangkutan pekerja ke tempat operasi dalam kumpulan besar adalah tidak dibenarkan. Pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang perlu meminimakan bilangan pekerja yang perlu melaksanakan operasi bagi mengurangkan risiko jangkitan di kalangan pekerja;
(b) Semua pekerja hendaklah sentiasa mengekalkan kebersihan diri dan mengamalkan penjarakkan sosial (social distancing) dengan mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara seorang pekerja dengan pekerja yang lain sepanjang tempoh operasi;
(c) Pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang perlu meminimakan situasi yang memerlukan para pekerja berkumpul secara beramai- ramai. Antaranya melaksanakan waktu rehat secara berperingkat bagi mengelakkan situasi berkenaan;
(d) Pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang perlu menyediakan peralatan pencegahan penularan wabak seperti hand sanitiser dan topeng muka serta menempatkannya di lokasi-lokasi strategik di tempat tumpuan seperti pintu masuk ke kawasan operasi, surau, kantin dan kenderaan pekerja; dan
(e) Pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang perlu melaksanakan proses disinfeksi secara kerap di kawasan operasi terutamanya di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pekerja.
(iii) Pemeriksaan Kesihatan ke Atas Pelawat/Pembekal
(a) Pelawat dan pembekal yang memasuki kawasan operasi perlu dihadkan dan mereka hanya dibenarkan memasuki kawasan operasi bagi tujuan yang benar-benar kritikal sahaja;
(b) Tahap kesihatan semua pelawat dan pembekal hendaklah diperiksa dengan menggunakan non-contact thermometer dan diperiksa bagi simptom-simptom COVID-19; dan
(c) Mana-mana pelawat dan pembekal yang telah dikenalpasti menunjukkan simptom-simptom COVID-19 tidak dibenarkan memasuki ke kawasan operasi.
5. Apakah tindakan yang boleh dikenakan sekiranya melanggar Perintah ini?
Kerajaan ingin menegaskan bahawa kelonggaran ini boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh pihak pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang.
6. Siapakah yang boleh dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut?
Sekiranya ada sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, boleh hubungi Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (UKK, MPIC) di talian yang disediakan di 03-8880 3321 / 03-8880 3325, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
#coronavirus #COVID-19 #FAQ #Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi #kerajaan #kesihatan #koronavirus #MPIC #perintah kawalan pergerakan