Perintah di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit wajib dipatuhi - JPA
Bernama
April 15, 2020 04:46 MYT
April 15, 2020 04:46 MYT
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pada Rabu memaklumkan bahawa pematuhan terhadap segala perintah sah yang dikeluarkan oleh pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu diberi perhatian serius.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata ketidakpatuhan terhadap apa-apa perintah sah yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta 342 adalah merupakan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman di bawah akta yang sama.
"Dalam hal ini, ketua jabatan/penyelia tidak boleh mengarahkan pegawai yang menerima apa-apa perintah yang sah yang dilkeluarkan oleh mana-mana pegawai diberi kuasa di bawah Akta 342 untuk hadir bekerja kerana dikhuatiri boleh membahayakan tahap kesihatan/menularkan wabak COVID-19 kepada orang lain.
"Tindakan tegas termasuk tatatertib boleh dikenakan terhadap mana-mana pegawai termasuk ketua jabatan atau penyelia yang mengarahkan pegawai yang terlibat untuk hadir bekerja di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya dalam satu surat yang diedarkan pada Rabu.
Beliau berkata tujuan kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) sebelum ini adalah untuk memastikan penjarakan sosial dapat dipatuhi sepenuhnya.
Selain itu, ketua jabatan hendaklah meminimumkan bilangan kehadiran pegawai di pejabat dan menggunakan sepenuhnya teknologi untuk bermesyuarat atau berkomunikasi bagi membincangkan sesuatu perkara.
Menurutnya lagi, bagi membendung penularan COVID-19 dari terus merebak, kehadiran pegawai di pejabat hanyalah dibenarkan sekiranya terdapat keperluan yang kritikal dan perlu dilaksanakan secara penggiliran bekerja.
-- BERNAMA
#Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
#Bekerja Dari Rumah
#COVID-19
#Hukuman
#JPA
#ketidakpatuhan
#Ketua Jabatan
#Mohd Khairul Adib Abd Rahman
#pegawai awam
#pematuhan
#penyelia
#Peraturan
#perintah
#PKP
#tatatertib
#tindakan tegas