Perintah berkurung Esszone dilanjutkan hingga 27 Sept - Pesuruhjaya Polis Sabah

Bernama
September 11, 2017 13:55 MYT
Ramli berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.
Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir pada 6 petang ini dilanjutkan sehingga 27 Sept, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.
Sehubungan itu beliau meminta mereka yang tinggal di kawasan berkenaan agar berada di dalam rumah serta tidak memasuki kawasan perairan terbabit antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.
Perintah berkurung ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan, katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.
Katanya perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha calet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.
"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," katanya.
Perintah berkurung tersebut meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
--BERNAMA
#ESSZONE #perintah berkurung #Polis Sabah #Ramli Din #Timur Sabah #zon selamat
;