Peringatan PM Anwar buat Meta: "Usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!"
Afiezy Azaman
Ogos 1, 2024 10:20 MYT
Ogos 1, 2024 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas terhadap Meta Platforms Inc (Meta) agar tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel.
Peringatan itu dikeluarkan Perdana Menteri susulan tindakan Meta menurunkan video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.
"Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin.
"Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
"Peringatan tegas saya terhadap Meta, usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!” kata Perdana Menteri dalam hantaran yang dimuat naik dalam akaun media sosial beliau.
Dalam masa sama, Anwar berkata, mesej yang jelas dan tegas harus diberikan kepada Meta.
"Hentikan tindakan pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen rejim Zionis Israel yang zalim!” ujar beliau lagi.
Pada Rabu, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan Perdana Menteri
Anwar dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar, pada Mei lalu.
Dalam kenyataannya, bahagian terbabit memaklumkan tindakan Meta itu ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.
Allahyarham Ismail yang juga Ketua Biro Politik Hamas dilaporkan terbunuh dalam serangan bersasar peluru berpandu di Tehran, Iran pada Rabu.
Pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas itu dikutuk oleh seluruh dunia.