Peringatan kepada penjual vape, dapatkan perakuan SIRIM - Menteri KPDN

Faida Rahim, Intan Shanim Sulaiman
Oktober 24, 2024 13:00 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi peringatan penjual peranti rokok elektronik (vape) untuk mendapatkan kebenaran daripada SIRIM. - Ganbar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi peringatan penjual peranti rokok elektronik (vape) untuk mendapatkan kebenaran daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).
Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, ini termasuk perakuan dan penandaan MS Sirim produk peranti elektronik yang dikeluarkan menepati standard daripada daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.
“Kita menerima laporan dan kebimbangan pihak tertentu. Apa yang saya ingin nyatakan di pihak KPDN, bidang kuasa kita adalah berkait Akta Perihal Dagangan 2011.
“Ada satu perintah khusus berkaitan dengan peruntukan dan penandaan peranti rokok eletronik yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan untuk menguatkuasakan perintah tersebut kita akan kerjasama dengan SIRIM, QAS Sdn Bhd.
“Anak syarikat SIRIM (QAS) telah dinyatakan secara tersurat dalam perintah tersebut sebagai badan pihak berkuasa yang boleh memberi perakuan kepada produk peranti rokok elektronik ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Armizan mengingatkan mana-mana yang menyamarkan peranti rokok elektronik seperti krayon untuk menarik remaja membeli vape bakal berdepan tindakan tegas undang-undang.
Beliau berkata, individu yang berbuat demikian akan disiasat di bawah Akta Penerangan Perdagangan 2011, berikutan Perintah Penerangan Perdagangan (Sijil dan Pelabelan Rokok Elektronik) 2022.
Kementeriannya akan bekerjasama dengan Sirim QAS International, yang telah diberi kuasa untuk mengesahkan peranti vape.
“Mana-mana individu yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan peranti atau komponen rokok elektronik mesti memohon kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan peranti tersebut.
“Kementerian berharap semua pihak akan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Armizan lagi.
#vape #perakuan SIRIM #kpdn #Armizan Mohd Ali
;