Perincikan kelebihan MA63 untuk Sabah, Sarawak - Dr Shamrahayu
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 12, 2019 19:43 MYT
Mac 12, 2019 19:43 MYT
Kerajaan perlu memperincikan kelebihan faedah di dua negeri Borneo selepas Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi direalisasikan.
Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, perbincangan lanjut perlu dilakukan segera untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul daripada rakyat mengenai isu berkenaan.
"Ramai yang bercakap tentang antara implikasi adalah hak Sabah dan Sarawak sekiranya pindaan itu dilakukan dan membezakan antara negeri Semenanjung.
"Ia termasuk implikasi undang undang berkaitan petroleum. Saya percaya pindaan lain juga perlu diberi perhatian kalau isu sebenarnya adalah mengembalikan MA63 dan apa inti patinya.
"Saya fikir ini adalah dua perkara lanjut yang perlu dibincangkan dengan wajar dan meneliti apakah sebenarnya perubahan yang berlaku kepada Perlembagaan Persekutuan yang tidak memberi penghormatan kepada perkara yang disebut dalam Perjanjian MA63," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong berkata persetujuan Kabinet untuk meminda perlembagaan berkenaan telah dibuat semasa mesyuarat Kabinet Rabu lepas dan ia adalah satu langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam pada itu, Dr Shamrahayu memberitahu, pindaan MA63 itu pernah dibuat pada 1976.
"Pada asalnya ketika merdeka 1957, apa yang ada dalam Perkara 1 (2) adalah negeri-negeri Persekutuan terdiri semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak sebab pada masa itu dua negeri tiu belum menjadi ahli Persekutuan.
"Namun, apabila pembentukan Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1(2) dipinda dengan memasukkan difinisi negeri-negeri Persekutuan terdiri Tanah Melayu, perenggan B negeri persekutuan, negeri Borneo Sabah dan Sarawak, manakala perenggan C, kita ada Singapura.
"Peruntukan yang masuk pada 1963 dipinda pada 1976 dengan berkesan sehingga hari ini. Perlembagaan telah dipinda dengan membuang perenggan B dan C, berkenaan Sabah Sarawak 1976 pindaan dibuat Sabah dan Sarawak termasuk dalam negeri Persekutuan tidak ada lagi perenggan berbeza," jelasnya.
Usaha mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub MA63 dijangka menjadi tumpuan utama persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 yang bermula Isnin.
#Borneo
#Perjanjian Malaysia 1963
#Perlembagaan Persekutuan
#Pindaan Perkara 1 2 Perlembagaan Persekutuan
#Sabah
#Sarawak