Perincian gaji progresif sektor swasta diumum dalam Belanjawan 2024 - Rafizi

Firdaus Azil
Ogos 24, 2023 17:12 MYT
Rafizi berkata, selepas proses libat urus selesai baru dapat ditentukan sejauh mana intervensi dapat diterjemahkan kepada komitmen kewangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kenaikan gaji pekerja di sektor swasta telah dipersetujui di peringkat polisi kerajaan, dan perinciannya dijangka akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober ini, kata Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sebelum memutuskan mengenai prinsipal dan pendekatan yang akan diguna pakai, kerajaan perlu melalui beberapa proses perbincangan dan perincian dahulu, termasuk mengadakan siri libat urus dengan pemegang taruh sektor swasta.
Selepas siri proses tersebut, jelas Rafizi lagi, barulah kerajaan dapat tentukan sejauh mana intervensi harus dilakukan untuk diterjemahkan kepada komitmen kewangan, dan golongan sektor mana yang didahulukan melalui polisi tersebut.
“Perdana Menteri telahpun memberi anggaran awal (tentang jumlah dana kerajaan), tetapi itu akan kita umumkan dalam Belanjawan 2024 pada bulan Oktober ini. Pelaksanaan gaji progresif ini dijangka pada bulan April atau Mei, jadi anggaran perbelanjaan itu harus dilakukan melalui belanjawan,” katanya lagi.
Rafizi berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Kepimpinan Digital: Memberdaya Ekonomi Digital Ke Arah Pelaksanaan GovTech, di ibu negara pada Khamis.
Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sedang berusaha mencari dana untuk menampung sedikit bayaran bagi penyelarasan gaji pekerja sektor swasta.
Beliau berkata tidak banyak negara yang melakukan perkara itu tetapi Kerajaan Perpaduan tetap akan memikirkan tentang bagaimana kaedah dan pelaksanaannya.
Ia juga merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk mewujudkan ekosistem gaji progresif, selepas memutuskan untuk menaikkan skim gaji 1.6 juta penjawat awam menerusi Belanjawan Madani 2024 pada Oktober.
Dalam pada itu Rafizi berkata, kerajaan tidak sewenang-wenangnya membeza-bezakan jumlah peruntukan kepada setiap negeri, tanpa mengambil kira perancangan ekonomi yang menyeluruh di negeri tersebut.
Beliau berkata, secara amnya pengagihan peruntukan mengikut negeri terbahagi kepada tiga kategori iaitu negeri yang perlu mendapat peruntukan pembangunan daripada Persekutuan; negeri yang tidak begitu berpendapatan tetapi tidak mendapat banyak peruntukan Persekutuan; dan negeri yang maju tanpa memerlukan banyak suntikan Persekutuan.
“Dari segi peruntukan, Sarawak memang dapat peruntukan yang tinggi secara relatif berbanding negeri-negeri lain. Tapi peruntukan itu juga turut disertai dengan perancangan ekonomi di peringkat negeri yang baik, menjadikan pertumbuhan negeri itu baik.
“Tapi tak dapat yang sama di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Jadi ia menjadi hanya satu hala, tiap-tiap tahun diberi peruntukan lebih, tetapi di peringkat kerajaan negeri tak disertakan perancangan ekonomi yang baik,” katanya lagi.
Rafizi berkata, Kerajaan Persekutuan harus mencari keseimbangan dalam menyediakan peruntukan untuk negeri-negeri, iaitu memastikan kerajaan-kerajaan negeri lebih dipertanggungjawabkan dalam mengurus dana tersebut.
#Rafizi Ramli #gaji progresif #Kementerian Ekonomi #Belanjawan 2024
;