Periksa latar belakang pendakwah, hubungan kaum masih rapuh - Mujahid

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 30, 2019 12:40 MYT
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata langkah itu perlu dilakukan kerana hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia ketika ini agak rapuh. - Gambar fail
Latar belakang pendakwah asing perlu diperiksa sebelum mereka dibenarkan berdakwah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata langkah itu perlu dilakukan kerana hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia ketika ini agak rapuh.
Malah, katanya pemeriksaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu penting bagi memelihara keselamatan negara daripada diceroboh dakyah luar yang bertentangan norma masyarakat Malaysia.
“Keutamaan kita ketika ini adalah keselamatan negara. Rakyat Malaysia pelbagai kaum, bangsa dan agama yang agak rapuh. Jadi, apa saja boleh berlaku,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat semalam, bahawa semua pendakwah luar yang datang ke negara ini untuk mengadakan ceramah keagamaan akan diteliti dan diperiksa latar belakang terlebih dulu.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan berkata, KDN turut melakukan proses semakan dengan badan keagamaan berkaitan yang ada dalam negara bagi memastikan kumpulan pendakwah itu bebas daripada fahaman songsang.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, langkah KDN itu konsisten dengan pendiriannya, bahawa mana-mana pendakwah, sama ada Islam atau bukan Islam, perlu diperiksa latar belakangnya kerana berkemungkinan besar membawa fahaman tidak sesuai dengan konteks Malaysia.
#dakyah luar #Dewan Rakyat #Dr Mujahid Yusof #KDN #Kementerian Dalam Negeri #keselamatan #Muhyiddin Yassin #Parlimen
;