Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri bermula serentak

Bernama
November 28, 2012 08:43 MYT
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini memulakan perhimpunan agung masing-masing secara serentak, bermula pukul 8 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Perhimpunan agung kali ini yang merupakan perhimpunan terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), dijangka menumpukan kepada persediaan jentera parti dalam menghadapi PRU itu.
Sayap Wanita bersidang di Dewan Merdeka manakala Pemuda berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn.
Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti itu dirasmikan serentak Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Sebanyak 2,973 perwakilan iaitu masing-masing 991 perwakilan bagi setiap sayap akan membahaskan ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing selain usul ekonomi serta pendidikan dan agama.
#PAU12 #pemuda #Puteri #UMNO #wanita
;