Perhimpunan #Turun: Young Syefura, 9 lagi diambil keterangan
Umar Sadique
Julai 25, 2022 20:41 MYT
Julai 25, 2022 20:41 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 10 lagi individu dipanggil memberi keterangan hari ini, berhubung Perhimpunan #Turun di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu.
Kesemua individu yang terdiri daripada ahli politik, aktivis dan mahasiswa itu telah dirakam keterangan bermula jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Antara yang dipanggil ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.
Syefura ketika ditemui, mendakwa mereka tidak melakukan kesalahan dan polis sepatutnya tidak perlu memanggil mereka untuk disiasat.
"Ini adalah hak rakyat untuk turun berhimpun, dan kita tidak melakukan kesalahan, kita berhimpun dengan baik, tidak ada kekacauan dan sebagainya.
"Jadi saya rasa, tidak perlulah pihak polis membuang masa kepada kami para aktivis, mahasiswa dan sebagainya untuk mengambil keterangan, siasatan dan sebagianya," katanya selepas memberi keterangan di sini, hari ini.
Sementara itu, Adam Adli berkata, mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada polis.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan pihaknya telah selesai merakam keterangan 10 individu itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pada Sabtu, media melaporkan polis membuka satu kertas siasatan terhadap perhimpunan berkenaan