Perhimpunan Pekebun Durian Raub tidak dibenarkan, tindakan tegas terhadap peserta - Polis

Bernama
September 5, 2024 22:20 MYT
Mohd Shahril berkata polis menerima pemakluman daripada pihak penganjur pada minggu lepas untuk mengadakan perhimpunan berkenaan, namun ia tidak mematuhi 10 hari notis seperti yang ditetapkan dalam akta terbabit. - Gambar FB Polis Daerah Raub
RAUB: Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai Perhimpunan Pekebun Durian Raub yang dijangka diadakan di Dataran Pasar Sungai Klau di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan berkenaan, kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi tersebut seperti ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata polis menerima pemakluman daripada pihak penganjur pada minggu lepas untuk mengadakan perhimpunan berkenaan, namun ia tidak mematuhi 10 hari notis seperti yang ditetapkan dalam akta terbabit.
"Kita juga menerima bantahan untuk mengadakan perhimpunan itu daripada penduduk setempat termasuk pemilik tempat Majlis Daerah Raub dan dengan mengambil kira semua perkara terbabit perhimpunan itu tidak diluluskan.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak ingkar dan menyertai perhimpunan itu," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Sebelum ini Save Musang King Alliance (SAMKA) memaklumkan Perhimpunan Pekebun itu diadakan bagi menarik perhatian masyarakat terhadap kesulitan yang dihadapi pekebun di Raub serta menuntut pihak berkenaan menyewa tanah kebun secara sah kepada pekebun untuk menanam dan menjual durian selain terus menyumbang kepada industri durian di Malaysia.
SAMKA mendakwa sejak kes semakan kehakiman pekebun durian Musang King Raub ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 24 April lalu, pekebun durian di Raub menghadapi kesulitan, sering berdepan dengan tekanan dan gangguan dari kerajaan negeri, konsortium dan pihak penguatkuasa.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi #SAMKA #Musang King Raub #tanah kebun
;