Perhimpunan lubuk rezeki buat peniaga

Haider Yutim
November 27, 2012 02:47 MYT
Perhimpunan Agung Umno 2012 yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini, sekali lagi menjadi lubuk menambah rezeki buat peniaga.
Bukan mudah untuk mendapatkan ruang niaga di Pusat Dagangan Dunia Putra ini, dan kesempatan inilah yang digunakan salah seorang peniaga, Johnny Jaswar untuk menampilkan produk yang sering dicari setiap kali perhimpunan berlangsung iaitu songkok dan samping songket.
Kata Johnny, hanya di perhimpunan tahunan inilah orang-ramai termasuk ahli tegar Umno dapat membeli produk bersama logo unik parti itu.
“Ini adalah acara bermusim, maka ini adalah masanya orang-ramai mencari segala jenis barangan dengan simbol Umno padanya,” kata Johnny yang telah berniaga di sini sejak tahun 2000 lagi.
Katanya lagi, banyak perubahan buat ruang niaga kali ini. Hari ini ruang yang disediakan lebih selesa, dengan papan tanda yang jelas buat pengunjung mencari apa yang mereka mahukan.
Buat Yunidar Jamaa, 56, pemilik Anidar Trading, dia lebih sukakan susun atur lama buat peniaga dimana mereka ditempatkan di dua tingkat berasingan.
Dahulu syarat berniaga yang dikenakan juga tidak begitu ketat, dimana peniaga lebih ‘bebas’ untuk mempromosikan barangan mereka sekaligus mampu menarik lebih ramai pelanggan.
Hari ini katanya, pengunjung lebih bijak, menunggu hari-hari terakhir persidangan dengan harapan mendapat potongan harga berbaloi.
“Jualan mula meningkat seperti 'goreng pisang panas' di dua hari terakhir sebelum persidangan tamat. Sebelum itu jualan berkurangan sikit,” kata Yunidar yang mengaku telah lebih 16 tahun berniaga di sini.
Sementara itu, gerai-gerai PWTC sudah mula sibuk dengan kunjungan orang-ramai dan delegasi yang sudah mula berkumpul sejak hujung minggu lalu.
Masing-masing seperti tahun-tahun sebelumnya mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO kali ini dapat membawa ‘durian runtuh’ atau rezeki berganda buat peniaga.
#PAU 2012 #peniaga #perhimpunan agung #PUTRA #PWTC #UMNO