Perhimpunan #Lawan: 29 individu dikenal pasti, lebih 20 laporan polis diterima

Fareez Azman
Ogos 1, 2021 13:12 MYT
Acryl Sani memaklumkan seramai 29 individu telah dikenal pasti dalam perhimpunan #Lawan di Dataran Merdeka pada Sabtu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan seramai 29 individu yang terlibat dalam perhimpunan# Keluar dan #Lawan di Dataran Merdeka semalam telah dikenal pasti.
Jelasnya kesemua individu itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.
"Setakat ini 29 individu telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan manakala beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti daripada rakaman video dan gambar.
"Kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan tersebut," jelasnya dalam kenyataan media pada Ahad.
BACA: Protes #LAWAN berlangsung aman
Dalam pada itu jelas Acryl Sani, pemantauan PDRM mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh peserta perhimpunan tersebut pada Sabtu.
"Pemantauan PDRM semasa perhimpunan berkenaan telah mengesan insiden-insiden dimana penganjur dan peserta perhimpunan secara jelas telah melanggar syarat-syarat SOP PPN serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.
"Polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah Peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan," jelasnya lagi.
Protes #Lawan | Kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat
Dalam pada itu, sehingga kini lebih daripada 20 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.
Tambahnya, laporan dibuat oleh orang ramai yang membantah tindakan penganjur mengadakan perhimpunan itu di ibu negara semalam.
#Dataran Merdeka #Ketua Polis Negara #Merdeka #PDRM #penyakit berjangkit #perhimpunan #SOP #Pelanggaran SOP #peserta #Acryl Sani Abdullah Sani #COVID-19
;