Perhimpunan ICERD lebih baik jika libatkan bukan Melayu - Ku Li
Shafiq Noordin
Disember 9, 2018 18:10 MYT
Disember 9, 2018 18:10 MYT
Perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), yang berlangsung semalam di ibu negara seharusnya turut melibatkan peserta bukan Melayu.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, berkata, walaupun ia baik bagi menunjukkan penyatuan umat Melayu dan Islam namun perhimpunan seperti itu lebih bagus jika ia turut menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
“Saya lagi suka kalau ada bukan Melayu ramai juga bersama, kita negara yang berbilang kaum tidak bolehlah Melayu sahaja, kalau tujuan nak tunjuk Melayu bersatu bagus tapi lebih baik kita wujudkan juga perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Kita kena ajak mereka (bukan Melayu). Kita suka tak suka kena hidup bersama, kena bekerjasama dalam banyak hal, kena bertolak ansur, tak boleh segala-galanya nak milik untuk kita sahaja, kita kena berkongsi.
“Langit pun kita kongsi, bumi pun kita kongsi, hidup kena berkongsi, agama masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis resepsi Adun Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari dan bekas calon Pilihan Raya Kecil Teluk Intan 2014, Dyana Sofya Mohd. Daud di sini pada Ahad.
Sementara itu, ditanya pandangannya mengenai ICERD, beliau berkata, ia sebenarnya boleh diterima namun memerlukan penjelasan lanjut dari kerajaan kepada rakyat untuk mengelak salah faham.
“ICERD bukan nak rombak perlembagaan kita, nak buang mana-mana perkara dalam perlembagaan kita, saya tak fikir itu tujuannya.
“Kita barangkali tak nak terima sekarang kerana orang kita belum sampai tahap untuk berlumba bersama, taraf hidup berlainan lagi maka kita tak dapat terima dan takut salah faham, baik kita jelas betul-betul kepada rakyat supaya ia boleh diterima dengan hati terbuka,” ujarnya.