Perhimpunan ICERD: 6 jalan utama ditutup
Dania Zainuddin
Disember 6, 2018 18:07 MYT
Disember 6, 2018 18:07 MYT
Polis akan memantau perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan diadakan di sepanjang Jalan Raja, pada Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata,ini akan melibatkan penutupan jalan dan lencongan jalan di enam lokasi iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Hishamuddin, Leboh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Bulatan Dato Onn, seawal 6 pagi.
“Bagi menjaga keselamatan dan keamanan awam, kami aturkan tugasan pegawai polis secukupnya, mengikut keadaan. Jika orang ramai bertambah, pegawai polis juga akan bertambah.
“Penugasan polis juga akan bermula pada Jumaat (7 Dis) bagi mengawal keselamatan dan lalulintas di Jalan Raja,’’ katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Polis juga menasihatkan supaya orang ramai menggunakan pengangkutan awam, tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan, tidak mencetuskan provokasi, tidak membawa sebarang senjata, tidak merekrut kanak-kanak dan mematuhi arahan pegawai polis.
“Saya tegaskan untuk tidak ada yang cetuskan provokasi, menghasut. Kami akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Kami di sini hanya untuk memudah carakan mereka berhimpun, jangan ambil kesempatan untuk cetuskan provokasi,” tegas Mazlan.
Beliau juga menasihatkan para pelancong agar mengelak dari mengunjungi kawasan berhampiran perhimpunan itu.
"Ada banyak lagi tempat lain mereka boleh pergi,” tambahnya.
Sebelum ini, Mazlan berkata mesyuarat berkaitan dengan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi ICERD melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta beberapa agensi keselamatan lain.
“Dalam mesyuarat itu, kami sudah berbincang dengan beberapa pihak, termasuk Kementerian Kesihatan, Pertahanan Awam, RELA, DBKL, JBPM, Kebajikan Masyarakat, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) sebagai persediaan untuk perhimpunan itu,” kata Mazlan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga hanya membenarkan penganjuran perhimpunan dilakukan di sepanjang Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula pukul 2 petang hingga 6 petang.
Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.
Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini tetap diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.
#Bulatan Dato' Onn
#FRU
#Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur
#ICERD
#Jalan Raja Laut
#Jalan Sultan Hishammuddin
#Jalan Tun Perak
#Jalan Tunku Abdul Rahman
#JBPM
#keselamatan
#Lebuh Pasar
#Pakatan Harapan
#perhimpunan
#tentera