Perhimpunan Gerakan 20 Ribu Renaisans ditangguhkan - MPM

Astro Awani
Januari 10, 2015 11:51 MYT
MPM: Perhimpunan Gerakan 20 Ribu Renaisans ditangguhkan - Gambar fail
Perhimpunan Gerakan 20 Ribu Renaisans Melayu yang dijadulkan pada Sabtu ditangguhkan pada 28 Februari depan.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad dalam satu kenyataan berkata, ia terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa insiden buruk yang melanda Negara khususnya bencana banjir di beberapa negeri selain insiden nahas Air Asia QZ8501.
"Mengambil kira keadaan yang tidak diingini ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan MPM sebagai penganjur beserta lima lagi organisasi iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Biro Tata Negara (BTN) telah bersepakat untuk tarikh baru tersebut.
"Selain perubahan tarikh, semua aturcara majlis, agenda dan tujuan perhimpunan serta lokasi, masa dan lain-lain perkara yang berkaitan adalah kekal seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini iaitu bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, 6.30 petang dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Perhimpunan Gerakan 20 Ribu Renaisans Melayu diadakan sebagai lambang keutuhan bangsa Melayu di negara ini.
Ia sekali gus gerakan yang komprehensif dan terancang bagi memartabatkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang ulung.
Kata Dr Hasan, program itu akan diadakan tanpa protokol dan semua tetamu kehormat akan hadir dalam keadaan tidak formal.
"Program ini kami buat dengan tiada protokol. Kita jemput Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri), Timbalan Perdana Menteri dan semua Menteri dan Timbalan Menteri tapi mereka datang tidak formal seperti majlis-majlis lain.
"Kita akan memberi peluang kepada peniaga untuk membuka gerai makanan dan sebagainya di luar stadium itu dan Perdana Menteri sendiri pun kena beli makanan di gerai itu kerana pada program ini kita layan sama rata. Ini kerana kita semua anak Melayu semua sama taraf," katanya.
#BTN #DBP #Melayu #MPM #najib #Teraju #UiTM
;