Perhimpunan di ibu negara: Enam jalan utama dilencongkan - Polis

Hasimi Muhamad
Januari 21, 2022 16:37 MYT
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata lencongan tersebut akan bermula pada pukul 7 pagi esok. - Foto astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Polis Daerah Dang Wangi akan melakukan lencongan di enam jalan utama di sekitar ibu negara susulan penganjuran perhimpunan yang dijadual pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata lencongan tersebut akan bermula pada pukul 7 pagi esok.
"Perhimpunan ini jelas melanggar undang-undang yang berkuat kuasa iaitu Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan Peraturan 10 (Kawalan Berhimpun), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawalan Tempatan Jangkitan).
"Justeru bagi memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam berada dalam keadaan baik, polis akan menjalankan lencongan jalan sekitar pentadbiran IPD Dang Wangi.
"Setakat ini enam jalan utama akan dibuat lencongan iaitu Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi serta Jalan Sultan Ismail," katanya dalam sidang media, di sini pada Jumaat.
BACA: Mahkamah keluar arahan halang perhimpunan di tiga lokasi - Polis
[TERKINI] Sidang media Ketua Polis Daerah Dang Wangi
Selain lencongan jalan, Noor Dellhan berkata pihak pengoperasian Stesen Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monarail dan KTM juga akan membuat pemberhentian sementara pengoperasian.
Ia melibatkan beberapa stesen utama di dalam kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi.
Berikut senarai yang terlibat:
1. Laluan LRT Ampang/Sri Petaling
- Pudu
- Hang Tuah
- Masjid Jamek
- Plaza Rakyat
- Bandaraya
- Sultan Ismail
2. LRT Kelana Jaya
- Kampung Baru
- Dang Wangi
- Masjid Jamek
- Pasar Seni
3. MRT Laluan Sg Buloh-Kajang
- Bukit Bintang
- Merdeka
- Pasar Seni
Katanya lagi, penghentian sementara pengoperasian kesemua stesen ini juga akan bermula pada jam 7.00 pagi, 22 Januari.
"Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang urusan di Bandaraya Kuala Lumpur terutama di kawasan Pentadbiran IPD Dang Wangi perlu merancang perjalanan dan urusan masin –masing terutamanya yang melibatkan laluan dan juga masa," ujarnya.
#Kuala Lumpur #Perhimpunan Aman #polis #lencongan #Noor Dellhan Yahaya
;