Perhimpunan Dataran Merdeka: Guan Eng beri keterangan, sifatkan siasatan polis buang masa

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 11, 2021 17:09 MYT
Ahli Parlimen Bagan itu hadir bersama peguamnya RSN Rayer ke Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Timur Laut kira kira jam 1 tengah hari dan memberi keterangan kepada pegawai polis hampir 2 jam. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selesai memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan kehadirannya dan Ahli Parlimen pembangkang ke perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.
Ahli Parlimen Bagan itu hadir bersama peguamnya RSN Rayer ke Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Timur Laut kira kira jam 1 tengah hari dan memberi keterangan kepada pegawai polis hampir 2 jam.
Sementara itu, Guan Eng berkata tindakan pihak polis menghalang Ahli Parlimen masuk ke bangunan Parlimen sepatutnya tidak berlaku dan ia jelas bermotifkan politik.
“Saya percaya siasatan ini adalah sesuatu yg membazirkan masa membazirkan sumber oleh pihak polis yang sepatutnya digunakan untuk melindungi rakyat menjaga keselamatan.
“Sememangnya ini adalah sesuatu tindakan bermotifkan politik dalam suasana politik sekarang ini usaha untuk menekan Ahli Parlimen dalam menjalankan tugas kami. Mungkin untuk mempengaruhi kami untuk buat sesuatu, ini tidak akan berjaya kerana semua Ahli Parlimen yang dipanggil kita rasa macam kita dihina sebagai Ahli Parlimen yang hendak jalankan tugas,” katanya.
Guan Eng berkata demikian kepada media di IPD Timur Laut, di George Town pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kehadiran Guan Eng bagi memberi keterangan berhubung siasatan tersebut.
Keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Pada Selasa, Ketua Menteri merangkap Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.
Mereka bersama beberapa Ahli-Ahli Parlimen pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
#Lim Guan Eng #Dataran Merdeka #Parlimen #Polis Diraja Malaysia #Mahathir Mohamad #pembangkang #Buka Parlimen
;