Perhimpunan bincang isu Melayu, isu lain kita 'settle' di Parlimen - MT UMNO
Wan Syamsul Amly
Disember 6, 2014 17:33 MYT
Disember 6, 2014 17:33 MYT
Isu Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sudah dibincangkan di Parlimen dan bukan kekurangan pada Perhimpunan Agung UMNO lepas.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata agenda perjuangan parti dilihat lebih penting daripada isu yang dibangkit Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blognya.
"Isu TPPA, 1MDB dan lain-lain kita 'settle' di Parlimen. Perhimpunan adalah isu survival parti untuk menghadapi cabaran pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Kita bincang isu ekonomi Melayu, agenda penghinaan terhadap raja-raja Melayu, tanah rizab Melayu pada Perhimpunan UMNO," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tajuddin mengulas catatan terbaharu Dr Mahathir di blognya yang kecewa kerana perhimpunan agong parti itu baru-baru ini tidak membincangkan beberapa perkara yang menjadi perhatian rakyat dan melibatkan masa depan negara.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu memuji UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana "mendengar dan mengambil berat akan pandangan orang ramai" dengan mengekalkan Akta Hasutan 1948.
Dalam pada itu kata Tajuddin, tidak masuk akal jika semua isu hendak dibincangkan semasa Perhimpunan Agung UMNO yang mengambil masa hanya beberapa hari sahaja.
"Tun M sendiri pernah kata 'perjuangan yang belum selesai'. Kerana itu kita berbincang hanya mengenai perjuangan serta kedudukan Melayu yang semakin tercalar.
"Isu maruah bangsa lebih penting, itu agenda dan fokus parti, isu-isu lain yang dimaklumkan Tun M di dalam blognya adalah agenda kerajaan," ujarnya.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan kenyataaan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok yang menyifatkan ahli UMNO penakut kerana tidak berani membangkitkan isu 1MDB pada perhimpunan agung parti tersebut.