Perhimpunan Bersih 5 pada 19 November - Maria Chin
T K Letchumy Tamboo
September 14, 2016 13:46 MYT
September 14, 2016 13:46 MYT
Perhimpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November ini, kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
Beliau berkata Bersih 2.0 akan melancarkan Konvoi Bersih di seluruh negara bermula 1 Oktober dengan kemuncaknya pada perhimpunan Bersih 5 itu nanti.
Maria berkata perhimpunan kali ini menuntut lima perkara dilaksanakan, antaranya mengadakan pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah, dan memperkasa Sabah dan Sarawak.
"Objektif Konvoi Bersih adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang tuntutan Bersih mengenai reformasi institusi dan keparahan krisis 1MDB.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu keluar dan memulakan perbualan nasional tentang isu-isu ini kerana masa depan bersama kita akan terjejas," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Pelancaran konvoi Bersih akan dilancarkan di seluruh negara dan bakal berlangsung secara serentak di enam kawasan iaitu Kangar, Johor Bahru, Kota Bahru, Lumut, Sandakan dan Miri, di mana dianggarkan akan meliputi 246 bandar, pekan dan kampung.
Konvoi tersebut akan bergerak menuju ke Kuala Lumpur dan akan mengambil masa selama tujuh minggu sebelum berakhir.
Maria berkata beliau yakin Bersih 5, dengan seruan ‘Satukan Tenaga – Malaysia Baru’, akan mendapat sambutan yang baik, walaupun beliau tidak menyatakan anggaran orang yang dijangka menyertainya.
#Bersih 2.0
#Bersih 5
#demokrasi berparlimen
#Maria Chin Abdullah
#mengadakan pilihan raya yang bersih