Perhimpunan Bersih 5 akan dianjur, desak penyelesaian isu 1MDB
Israr Khalid
Ogos 3, 2016 13:49 MYT
Ogos 3, 2016 13:49 MYT
Bersih 2.0 akan menganjurkan perhimpunan aman Bersih 5 untuk mendesak penyelesaian segera terhadap isu yang melibatkan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia susulan pendedahan yang dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tentang dakwaan penyelewengan wang yang berlaku melibatkan syarikat tersebut.
Bagaimanapun, tarikh, masa, tempat serta bentuk perhimpunan yang akan dibuat masih belum ditetapkan dan akan diumumkan kelak.
Menurut pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, usaha ketika ini lebih tertumpu kepada gerakan membangkitkan kesedaran orang ramai secara menyeluruh terhadap isu 1MDB dan impaknya kepada negara.
"Kita nak orang ramai faham sebenar-benarnya mengapa kita membuat protes kerana ini adalah satu korupsi yang sangat besar dan ianya tidak boleh dibiarkan berterusan lagi.
"'Malaysian Official Number 1' perlu dikenalpasti dan kita mahu desak siasatan dibuat keatasnya," katanya dalam satu sidang media di pejabat Bersih 2.0 di sini hari ini.
Pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan mana-mana pemimpin baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, asalkan mereka selari dengan tuntutan perhimpunan itu.
Di samping menuntut akauntabiliti, antara yang turut dituntut perhimpunan Bersih 5 nanti adalah kesinambungan daripada perhimpunan Bersih 4 iaitu pembaharuan institusi yang dilihat mengganggu ketelusan proses siasatan isu 1MDB.
Jelas Maria, Bersih 2.0 bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sudahpun memulakan aktiviti protes mingguan, dan pihaknya turut menyokong perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 pada 27 Ogos ini.
"Tidak membuat perhimpunan kini bukan lagi pilihan. Rakyat Malaysia tidak lagi boleh berdiam diri.
"Kita harus terus menuntut jawapan dan kebenaran," tegasnya.