Perhimpunan bantah pengosongan PPR Taman Manggis bertukar kecoh
Astro Awani
Mac 7, 2019 13:49 MYT
Mac 7, 2019 13:49 MYT
Perhimpunan membantah pengosongan Unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, George Town bertukar kecoh selepas pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang mengunci rumah mereka.
Perhimpunan aman bermula pukul 10 pagi disertai 22 penyewa PPR bagi merayu kerajaan negeri memberi peluang untuk terus tinggal di rumah yang disewa.
Malah kesemua penyewa berhimpun dan berdiri di hadapan rumah masing-masing bagi menghalang pegawai perumahan mengunci serta menyita rumah mereka.
Difahamkan lapan penyewa telah menerima notis mengosongkan rumah tetapi masih enggan berpindah dan menyebabkan pegawai Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri bertindak mengunci rumah tersebut.
Empat penyewa pula dikatakan menyerahkan kunci secara sukarela manakala selebihnya masih berunding dengan kerajaan negeri.
Kesemua mereka diarahkan mengosongkan rumah masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.