Perhimpunan bantah kenaikan harga minyak tidak dapat sambutan
T K Letchumy Tamboo
Oktober 4, 2014 17:03 MYT
Oktober 4, 2014 17:03 MYT
Perhimpunan bagi membantah kenaikan harga minyak yang dirancang sesetengah pihak hari ini tidak menjadi apabila tiada seorang pun hadir mengambil bahagian.
Sehingga jam 4.30 petang, yang kelihatan di kawasan Dataran Merdeka di mana perhimpunan itu dirancang, hanyalah pengamal media dan pegawai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Walaupun hujan lebat yang turun setengah jam sebelumnya reda, namun kelibat para pemprotes di sekitar kawasan tersebut tidak juga kelihatan.
Keadaan lalu lintas di sekitar kawasan Dataran Merdeka lancar disebabkan kebanyakan warga ibu kota sudah pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.
Sebuah papan tanda elektronik yang tertera "Kawasan Dataran Merdeka ditutup bagi sebarang aktiviti pada 4 Oktober. Kerjasama anda amatlah dihargai. Harap maklum" telah didirikan di kawasan itu.
Kira-kira 50 pengamal media dan 100 pegawai penguatkuasa DBKL dan polis, yang mula berkumpul di kawasan itu sejak jam 2 petang, sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan, namun tiada apa yang berlaku.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan siapa penganjur perhimpunan tersebut.