Perhimpunan 'baju merah': Pendirian kami bersama Presiden - KJ

Israr Khalid
September 10, 2015 12:14 MYT
KHAIRY: Saya menurut apa yang diperkatakan Perdana Menteri, ia mewakili pendirian parti. Foto BERNAMA
Pergerakan Pemuda UMNO menyatakan akan berdiri di belakang pendirian Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menghalang mana-mana ahli parti daripada menyertai perhimpunan 'baju merah' pada 16 September ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan daripada Najib jelas menunjukkan pendirian parti berhubung hal tersebut.
"Saya menurut apa yang diperkatakan Perdana Menteri, ia mewakili pendirian parti", kata Khairy dalam sidang media selepas melancarkan Cabaran Langkah Ahli Parlimen Garmin di Bilik Taklimat Parlimen, Kuala Lumpur pada Khamis.
Bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu, Najib memaklumkan bahawa UMNO tidak menggalakkan, juga tidak sama sekali menghalang penyertaan ahlinya dalam perhimpunan tersebut.
Kata Najib, Malaysia merupakan sebuah negara terbuka dan setiap rakyatnya berhak menyuarakan pandangan dan perasaan masing-masing.
Berita mengenai perhimpunan yang akan diadakan pada Hari Malaysia itu mula tersebar di media sosial sejak beberapa hari lepas, bagaimanapun masih belum ada pihak yang tampil sebagai penganjur rasmi.
Perhimpunan 'baju merah' disifatkan sebagai tindak balas terhadap penganjuran Bersih 4 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lepas di sekitar Dataran Merdeka.
#Baju Merah #himpunan #Khairy Jamaluddin #Najib Razak #Pemuda UMNO #Presiden UMNO