Perhimpunan aman: Dataran Merdeka lengang, Jalan TAR sunyi

Fareez Azman
Januari 22, 2022 14:36 MYT
Anggota polis pula dilihat berkawal di beberapa kawasan serta melakukan rondaan berkala bagi memantau sebarang pergerakan peserta perhimpunan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka di ibu negara lengang selepas beberapa laluan masuk ke kawasan itu ditutup pihak berkuasa sejak pagi tadi.
Pemerhatian Astro AWANI pada jam 9.00 pagi mendapati, tiada kebenaran diberikan melalui laluan yang ditutup.
Manakala pekerja di premis perniagaan di Jalan Tunku Abdul Rahman hanya dibenarkan memasuki kawasan itu jam 10.53 pagi.
Sepanjang perjalanan di sekitar Jalan TAR mendapati, terdapat beberapa premis perniagaan yang dibuka, ada juga yang tutup.
Anggota polis pula dilihat berkawal di beberapa kawasan serta melakukan rondaan berkala bagi memantau sebarang pergerakan peserta perhimpunan.
Pemerhatian Astro AWANI lebih setengah jam di Jalan TAR juga tidak kelihatan seorang pun peserta perhimpunan berkumpul.
Rat- rata hanya peniaga, pekerja serta orang awam yang datang membeli barangan di premis perniagaan.
Pemerhatian di Dataran Merdeka pula mendapati kawasan yang menjadi tumpuan warga kota setiap hujung minggu itu juga lengang.
Terdapat pagar diletakkan di sepanjang laluan masuk ke Dataran Merdeka. Turut kelihatan, beberapa buah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisiober Noor Dellhan Yahaya dalam satu sidang media berkata enam jalan utama di ibu negara dilencongkan bermula pagi Sabtu.
Pengangkutan awam turut tidak beroperasi dalam tempoh yang ditetapkan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Masa (MRT), Monorel dan KTM Komuter di beberapa buah stesen di ibu negara.
Penutupan jalan dan operasi pengangkutan awam itu dibuat susulan perhimpunan yang diadakan oleh pihak tertentu pagi ini bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan.
#Dataran Merdeka #perhimpunan #PDRM #peniaga #lengang
;