Perhimpunan Agung PBB: Najib tuntut keadilan buat rakyat Palestin dan kutuk kezaliman Israel
Mariah Ahmad
Oktober 1, 2015 07:31 MYT
Oktober 1, 2015 07:31 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menggesa supaya satu penyelesaian muktamad dapat dicapai bagi mengakhiri ketidakadilan terhadap rakyat Palestin sekaligus mengutuk keras kezaliman Yahudi di wilayah yang diduduki oleh mereka.
Berucap ketika memberikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis, Najib berkata sudah tiba masanya PBB sebagai badan antarabangsa bangkit dan membela nasib rakyat Palestin yang menderita sekian lama akibat ditindas rejim zionis.
Beliau berkata ketidakadilan sistem yang menindas Palestin sejak 1948 menjurus kepada timbulnya masalah lain yang lebih serius termasuk peningkatan keganasan, penempatan haram dan pencabulan hak asasi manusia.
"Keresahan dan kemarahan yang rakyat Palestin dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia. Jika dunia terus menutup mata dengan keperitan mereka, kita bakal menghadapi risiko Wilayah Palestin yang bakal diduduki.
"Kita juga akan gagal untuk menegakkan hak asasi manusia yang menjadi pada asas kepada Bangsa-Bangsa Bersatu sejak ia ditubuhkan pada 70 tahun yang lalu," tambah Najib dalam ucapannya.
Najib juga menyentuh pencerobohan di masjid suci ketiga bagi umat Islam, Masjidil Aqsa tiga minggu lalu.
"Saya menyeru kepada kerajaan Israel untuk hidup dengan prinsip etika tertinggi agama Yahudi, dan mesej yang penting dalam Taurat seperti yang dinyatakan Hillel. Ketika diminta menerangkan mengenai Taurat dia (Hillel) berkata, "Apa yang kamu benci, jangan lakukan kepada sesama manusia antara anda.
"Ucapan ini, yang dikenali secara universal dalam semua agama sebagai Peraturan Emas, boleh menandakan hubungan yang amat perlu disemat di kalangan orang Islam dan Yahudi," tambah Najib.
Jelas Najib lagi, adalah menjadi tanggungjawab kepada Israel untuk memudahkan umat Islam dari seluruh dunia untuk melakukan ibadat di Masjidil Aqsa walaupun rejim itu mengawal ketat masjid suci berkenaan.
*Saluran Astro AWANI akan menyiarkan ucapan penuh Perdana Menteri di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam buletin jam 8 pagi dan ulangannya pada jam 3 dan 5.30 petang Jumaat.