Perhimpunan 16 Sept: Keselamatan ketenteraman awam terjamin - Polis KL

Hakim Rahman
September 15, 2015 14:40 MYT
TAJUDDIN: Pihak polis akan memastikan bilangan anggota yang mencukupi bagi mengawal perhimpunan tersebut.
Orang ramai yang ingin ke ibu kota pada 16 September ini tidak perlu bimbang kerana polis akan menempatkan anggota yang mencukupi bagi memastikan keselamatan ketenteraman awam terjamin.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata pihaknya turut mengambil maklum tentang Himpunan Rakyat Bersatu yang dijadual berlansung Khamis ini dan telah mengambil langkah bagi memastikan ia berjalan lancar.
Jelas Tajuddin, memandangkan perhimpunan tersebut mendapat kebenaran, polis bertanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut memaklumkan, orang ramai boleh melakukan aktiviti harian mereka seperti biasa di sekitar bandaraya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai berita-berita yang tidak berasas terutamanya yang disebarkan melalui media sosial dan boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai,
"Oleh itu, polis Kuala Lumpur akan memastikan bilangan anggota yang mencukupi bagi menugasan operasi itu," katanya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, polis juga tidak akan bertoleransi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan provokasi semasa Khamis ini.
Dalam pada itu, Tajuddin turut memaklumkan bahawa polis menerima permohonan penganjur tersebut kerana mereka mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman.
Pada Isnin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz meluluskan permohonan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi Himpunan Rakyat Bersatu.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menasihatkan agar mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan supaya mematuhi segala peraturan yang ada.
Jelasnya, ekoran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi kebenaran untuk menggunakan lokasi Padang Merbok mengadakan perhimpunan itu, ia diharap agar jalan raya di sekitar ibu negara tidak diusik oleh mana-mana pihak.
Perhimpunan Rakyat Bersatu diketuai oleh Pesaka bersama 250 badan bukan kerajaan (NGO) lain yang diadakan sebagai membantah penganjuran himpunan Bersih 4 baru-baru ini.
#PDRM #polis #Tajuddin Md Isa #tindakan tegas
;