Perhilitan Terengganu tangkap beruang matahari jantan sesat
Bernama
Disember 5, 2024 15:00 MYT
Disember 5, 2024 15:00 MYT
JERTIH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor beruang matahari jantan dalam satu operasi di Kampung Kubang Ikan di sini semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata beruang matahari itu dipercayai adalah haiwan yang sama dilihat berkeliaran di sekitar kampung berkenaan, yang tular di laman sosial sebelum ini.
"Tujuh anggota Perhilitan terlibat dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi, dan beruang berkenaan berjaya ditangkap menggunakan kaedah tembak pelali kira-kira pukul 2 petang.
"Sebelum ini Perhilitan Terengganu mendapat aduan mengenai kehadiran beruang di Kampung Gong Badang (di sini), namun tidak lama kemudian beruang yang sama dilaporkan berada di Kampung Kubang Ikan pula," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata haiwan seberat 120 kilogram yang dipercayai tersesat dari kawasan hutan simpan berdekatan itu akan dilepaskan kembali ke habitat asalnya di hutan simpan yang sesuai.
-- BERNAMA