Perhilitan tangkap seekor lagi beruang matahari di Tanah Merah
Bernama
Jun 2, 2024 04:40 MYT
Jun 2, 2024 04:40 MYT
TANAH MERAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor lagi beruang matahari di Kampung Air Asahan Hulu di sini pada Ahad.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata haiwan liar itu ditangkap oleh anggota Perhilitan Jeli selepas menerima aduan pada 29 Mei lepas, susulan beruang berkenaan berkeliaran di kebun penduduk kampung terbabit.
"Selepas menerima aduan itu anggota kami terus ke lokasi dan memasang satu unit perangkap bagi menangkap haiwan liar berkenaan.
"Hari ini, beruang matahari itu memasuki perangkap dan berjaya ditangkap, seterusnya melegakan penduduk kampung selain dapat mengelak kerugian berterusan dialami mereka akibat kemusnahan hasil pertanian dan harta benda," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, haiwan berkenaan ialah beruang kedua ditangkap di kampung sama, selepas pihaknya berjaya menangkap seekor beruang matahari betina pada 28 Mei.
Mohamad Hafid berkata operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang matahari itu ke habitat lebih sesuai dan selamat akan dilakukan dalam masa terdekat oleh kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Jeli.
"Operasi tangkapan dan pemindahan beruang ini bukan penyelesaian jangka panjang berikutan kampung terbabit berhampiran dengan Hutan Simpan (HS) Air Satan yang merupakan habitat asal hidupan liar berkenaan," katanya.
Beliau berkata orang ramai diminta lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri.
Orang awam terutama pekebun katanya, perlu mengambil langkah-langkah mitigasi seperti sentiasa berteman semasa ke kebun, tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam dan perlu membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak.
-- BERNAMA