Perhilitan tangkap gajah liar ganggu penduduk di Dabong

Sinar Harian
Mei 14, 2024 13:50 MYT
Perhilitan Kelantan menangkap seekor gajah jantan liar yang menggangu kehidupan penduduk di Kampung Kemubu, Dabong di Kuala Krai pada Isnin.
KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah jantan liar yang mengganggu kehidupan penduduk sekali gus memberikan kelegaan di Kampung Kemubu, Dabong di sini pada Isnin.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan tersebut juga dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda.
"Operasi pemindahan dan pelepasan semula gajah liar ini ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat.
"Ia akan melibatkan kakitangan PKGK (Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan) Kuala Gandah, Pahang dan Perhilitan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, bagi mengurangkan kes konflik melibatkan gajah liar, penduduk khususnya pekebun adalah dinasihatkan agar mengambil langkah mitigasi seperti memasang lampu led biru, sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak samun.
Ujarnya, pembinaan pagar elektrik di kawasan kebun juga turut digalakkan.
Mohamad Hafid memberitahu, tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa dan HSK Ulu Temiang yang didiami lebih dari 20 ekor gajah liar.
"Orang ramai juga adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri," katanya. - Sinar Harian
#Perhilitan #anak gajah #Dabong #gajah liar
;