Perhilitan tangkap gajah liar di Mersing

Bernama
September 13, 2024 21:10 MYT
Aminuddin berkata pada Rabu lepas, pihaknya turut melaksanakan operasi pemindahan dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang ke habitat yang lebih sesuai. - Gambar FB Komuniti Mersing
MERSING: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap seekor gajah liar jantan di Kampung Triang Besar di sini, Isnin lepas.
Pengarah Perhilitan negeri Aminuddin Jamin berkata gajah tersebut ditangkap susulan operasi selama seminggu melibatkan 21 anggota jabatan itu yang menjalankan pemantauan di kampung berkenaan selepas menerima aduan berhubung kehadiran mamalia itu daripada penduduk.
"Kami menganggarkan terdapat tiga hingga lima ekor gajah, dipercayai sebahagian daripada kumpulan gajah Jemaluang yang tersesat.
"Hingga kini, kita masih melakukan rondaan dan kawalan berterusan bagi menghalau kumpulan gajah tersebut ke habitat asal mereka," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Aminuddin berkata pada Rabu lepas, pihaknya turut melaksanakan operasi pemindahan dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang ke habitat yang lebih sesuai.
Beliau berkata orang ramai diminta agar tidak melakukan sebarang tindakan provokasi sekiranya terserempak dengan kumpulan mamalia itu sebaliknya laporkan segera kepada pihak Perhilitan.
"Sebarang aduan serta maklumat mengenai hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.
-- BERNAMA
#Perhilitan #gajah liar #hidupan liar #tindakan provokasi
;