Perhilitan tahan dua lelaki kes lepaskan ular sawa di longkang
Sinar Harian
Februari 12, 2025 15:10 MYT
Februari 12, 2025 15:10 MYT
Dua lelaki terbabit dipercayai melepaskan ular sawa di dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights di Subang Jaya, baru-baru ini. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung pemilikan ular sawa tanpa lesen sah.
Penahanan kedua-dua lelaki tempatan itu susulan kes tular berkaitan pelepasan ular sawa di dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights di Subang Jaya, baru-baru ini.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya menerima aduan daripada Balai Polis Putra Heights pada Selasa.
Menurutnya, berikutan itu Perhilitan Selangor dengan bantuan Balai Polis Putra Heights telah melaksanakan pemeriksaan ke atas kediaman individu terbabit.
"Hasil pemeriksaan menemui seekor ular sawa batik yang masih hidup.
"Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah ular sawa tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, dua suspek berusia 53 dan 35 tahun telah ditahan untuk tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) (Pindaan A1646) dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Jelasnya, sebarang pelepasan hidupan liar tanpa kawalan boleh mengundang bahaya kepada masyarakat setempat dan persekitaran.
Pemilikan hidupan liar tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan sekiranya orang awam menemui hidupan liar di kawasan kediaman, mereka dinasihatkan untuk menghubungi Jabatan Perhilitan bagi tindakan sewajarnya," ujarnya.
Tegas beliau, Jabatan Perhilitan menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri.
"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada jabatan melalui Talian Hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151 atau e-Aduan www.wildlife.gov.my," katanya.
Sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan daripada lelaki tempatan pada 3 Februari lalu selepas melihat rakaman video tular itu.
Siasatan yang dijalankan pihak polis mendapati ular tersebut dilepaskan pada pertengahan Januari lalu. - Sinar Harian