Perhilitan siasat kehadiran buaya dalam parit
Sinar Harian
Februari 20, 2022 12:48 MYT
Februari 20, 2022 12:48 MYT
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedang menyiasat kehadiran seekor buaya dalam parit di sebuah kebun sawit di Kuala Kurau, dekat sini sepertimana ditularkan di media sosial.
Pengarahnya, Yusof Shariff berkata, buat masa ini pihaknya belum dapat mengenal pasti kesahihan video terbabit memandangkan tiada laporan berkaitan ancaman buaya diterima daripada orang awam.
"Tidak dapat dipastikan sama ada video itu lama atau baharu, atau benar-benar berlaku di Kuala Kurau dan Parit Buntar.
"Bagaimanapun saya telah minta anggota Perhilitan Kuala Gula untuk membuat siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, Perhilitan turut mendapatkan bantuan daripada Ibu Pejabat untuk mengesan individu yang merakam kejadian itu termasuk pemilik Facebook yang memuat naik video berkenaan.
"Maklumat berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati atau melakukan sebarang kacau ganggu sekiranya ternampak haiwan berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Sebaiknya jangan provokasi atau ganggu haiwan berkenaan walau di mana pun ia dijumpai," katanya.
Pada Jumaat, tular dua video di media sosial memaparkan kehadiran buaya dalam parit dikatakan berlaku di Kuala Kurau.
Video pertama berdurasi 44 saat memperlihatkan beberapa lelaki dengan seorang daripadanya menggunakan sebatang pelepah sawit mengocak permukaan air bagi menarik perhatian buaya tersebut.
Tindakan itu menyebabkan haiwan berkenaan merangkak naik ke tepi tebing parit.
Sementara video kedua berdurasi 2.51 saat pula merakamkan kumpulan lelaki melemparkan batu ke dalam parit di lokasi yang sama untuk mengganggu reptilia itu.
*Berita asal di Sinar Harian