Perhilitan selamatkan 207 hidupan liar sepanjang Februari

Hilal Azmi
Mac 3, 2017 19:19 MYT
ABDUL KADIR: Sebanyak 207 hidupan liar daripada lapan spesis berjaya diselamatkan Perhilitan dalam lima serbuan sepanjang Februari lalu. - fotoBERNAMA
Sebanyak 207 hidupan liar daripada lapan spesis berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam lima serbuan sepanjang Februari lalu.
Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata semua haiwan itu diselamatkan dalam serbuan berbeza di Pahang dan Selangor antara 20 sehingga 28 Februari lepas dan dianggarkan bernilai hampir RM110,000.
Katanya, sebanyak 156 ekor burung murai batu, tiga ekor burung tiong emas dan enam ekor ayam hutan berjaya diselamatkan selepas menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di Kuala Lipis, Pahang.
"Dengan tangkapan itu, kita telah mematahkan satu sindiket penyeludupan burung murai batu yang berpusat di Pahang.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu memburu dan menyimpan haiwan liar dilindungi tanpa lesen, dan Seksyen 60(2) akta sama bagi kesalahan sama membabitkan 20 kepala (haiwan).
"Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 60, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Kesalahan mengikut Seksyen 60(2) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perhilitan di sini hari ini.
Katanya, dalam serbuan di Selangor, dua orang wanita dan seorang lelaki turut ditahan kerana menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran dan menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di premis kediaman mereka di Bandar Puncak Alam, Jenjarom dan Banting.
"Antara hidupan liar yang dirampas ialah seekor memerang licin, seekor musang, empat ekor helang dan seekor anak buaya.
"Selain itu, satu operasi khas di KLIA pada 22 Februari juga telah berjaya mematahkan percubaan menyeludup 35 ekor kura-kura kolam hitam (Black pond turtle) oleh seorang warga Bangladesh," jelasnya.
Dalam sidang media sama, beliau turut meminta orang ramai untuk turut menyalurkan maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan.
Tambahnya, maklumat boleh disalurkan melalui PERHILITAN Hotline di talian 1800 88 5151 (Isnin - Ahad, 8:00 pagi - 6:00 petang) atau menerusi e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
#Abdul Kadir Abu Hashim #burung murai batu #Perhilitan
;